Budak perempuan melecur ketika main bunga api

Mangsa kini ditempatkan di Wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Sultanah Bahiyah bagi rawatan susulan.
Mangsa kini ditempatkan di Wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Sultanah Bahiyah bagi rawatan susulan.
A
A
A

PENDANG - Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun melecur pada badannya dipercayai disambar api ketika bermain bunga api di Kampung Senara, Kubur Panjang, pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, kejadian tersebut berlaku jam 10.30 malam semasa mangsa bersama dua abangnya berumur tujuh dan 10 tahun sedang bermain bunga api di hadapan rumah mereka.

Menurutnya, secara tiba-tiba, terdengar teriakan mangsa di luar rumah dan ibu bapa mangsa terus keluar dan terkejut apabila mendapati api sedang membakar tubuh mangsa.

"Pada masa yang sama abang mangsa yang bermain bunga api bersama mangsa cuba memadam api di badan mangsa.

"Ayah mangsa terus berlari ke dalam tandas dan mengambil air menggunakan baldi lalu menjirus ke badan mangsa dan kemudiannya membawa mangsa ke Hospital Pendang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Mangsa melecur lebih 46 peratus pada bahagian muka dan badan telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada malam Rabu.

Mangsa ditempatkan di Wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), HSB dan doktor tidak dapat menentukan punca kecederaan mangsa setakat ini sama ada disebabkan oleh minyak pelita atau bunga api.

Arriz Sham berkata, bapa mangsa memberitahu ketika kejadian, mangsa sedang bermain bunga api bersama dua orang abangnya dan mengesyaki mangsa terkena pelita api yang dipasang di hadapan rumah ketika ingin menyalakan bunga api.

Menurutnya, dua abang mangsa itu tidak dapat ditemu bual sebab mereka masih dalam keadaan trauma akibat kejadian berkenaan.

"Hasil siasatan lanjut di tempat kejadian menjumpai cebisan baju dan sebatang kayu pelita api. Walau bagaimanapun tidak terkesan sisa pemegang bunga api yang dibeli oleh ayah mangsa di tempat kejadian," ujarnya.

Tambah beliau, mangsa dalam keadaan stabil dan masih memerlukan pemantauan yang rapi daripada doktor dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.