MINDEF terima surat persaraan awal Hafizuddeain - Menteri

Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan
Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah menerima surat persaraan awal Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan daripada Tentera Darat bermula 1 Januari lepas.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, makluman surat berkenaan diterima beliau pada Isnin daripada peguam kepada bekas Panglima Tentera Darat itu yang sedang bercuti dengan menyatakan hasrat untuk bersara awal.

Menurutnya, maka dengan permohonan untuk bersara awal tersebut, ia membolehkan MINDEF untuk memulakan proses mencari pengganti calon Panglima Angkatan Tentera (PAT).

"Seperti kita sedia maklum Majlis Angkatan Tentera (MAT) telah pun sebelum ini membuat keputusan untuk beliau (Muhammad Hafizuddeain) menjadi Panglima Angkatan Tentera tetapi keputusan itu ditangguhkan kerana kes yang beliau hadapi.

"Keputusan untuk menjawat jawatan PAT yang sepatutnya pada 1 Januari tahun ini tidak dilaksanakan dan ditangguhkan kerana kes yang beliau hadapi," katanya ketika sidang akhbar selepas Perutusan Tahun Baharu 2026 di Wisma Perwira di sini pada Isnin.

Mohamed Khaled semasa berucap Perutusan Tahun Baharu 2026 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur pada Isnin.
Mohamed Khaled semasa berucap Perutusan Tahun Baharu 2026 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur pada Isnin.

Tambahnya, dengan pengumuman itu untuk bersara awal bermula 1 Januari maka jawatan PAT itu kosong.

Kata beliau, sekarang ini PAT dipangku oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain Zul.

Artikel Berkaitan:

"Jadi proses untuk mula mencari PAT akan dilakukan, yang mana MAT akan syor kepada yang Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan kelulusan.

"Jadi itu akan ambil masa. Itu pun antara sebab beliau (Muhammad Hafizuddeain) mohon untuk bersara awal agar membolehkan kita mengisi jawatan Panglima Angkatan Tentera itu," ujarnya.

27 Disember lalu, Mohamed Khaled dalam kenyataan dilaporkan berkata Muhammad Hafizuddeain akan bercuti berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang dilaporkan sebelum ini.

Sebelum ini media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap beberapa projek melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) sejak 2023.

Difahamkan, fokus siasatan tertumpu kepada projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!