Hanya jual bunga api dibenarkan - Peniaga

Khairul Akid (kiri) melayani pelanggan yang berkunjung ke gerainya di tapak Ekspo Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.
Khairul Akid (kiri) melayani pelanggan yang berkunjung ke gerainya di tapak Ekspo Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Peniaga bunga api di tapak Ekspo Dataran Shahbandar di sini, mengakui hanya menjual bunga api yang dibenarkan kepada pelanggan.

Khairul Akid Din, 32, berkata, permohonan lesen bagi perniagaan yang dijalankan perlu melalui proses ketat di samping perlu menjalani pemeriksaan secara berkala oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, terdapat 10 jenis bunga api yang dijual di gerai jualannya iaitu happy boom mancis, happy boom 14 inci besi, happy boom 14 inci ice cream, happy boom 15 inci ice cream, happy boom banana hujan, happy boom moon (rockets), happy boom dush 20, happy boom dush 30, happy boom sky dragon (new) dan pop-pop,

“Setiap hari, kita perlu sediakan laporan jenis dan kuantiti jualan bunga api untuk diperiksa oleh pihak berkuasa.

“Biasanya stok bagi setiap bunga api yang diambil daripada pembekal mencecah 40 hingga 60 kotak.

“Jika stok jualan sudah habis, lampiran untuk jadual jualan bagi stok baharu pula perlu disediakan,” katanya.

Menurut Khairul Akid, gerai jualannya juga beroperasi seperti yang ditetapkan pihak berkuasa iaitu bermula selepas seminggu umat Islam berpuasa.

Jelasnya, harga bagi bunga api yang dijual pula serendah RM5 sehingga RM35 bergantung kepada kuantiti dan jenis bunga api.

“Tahun ini, pertama kali saya jual bunga api di ekspo. Tahun lepas, saya jual baju Melayu.

“Saya berniaga di sini dengan membayar sewa tapak RM7,500,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di tapak Ekspo Dataran Shahbandar yang menjadi lokasi tumpuan pengunjung untuk membeli barangan Hari Raya Aidilfitri di sini mendapati, kebanyakan bunga api yang dijual di situ adalah dari jenis bunga api pop-pop.