Peniaga cemas gerai dihempap pokok

Pembersihan pokok di kawasan gerai dan rumah mangsa oleh anggota APM
A
A

TEMERLOH- Seorang peniaga nasi lemak berdepan detik mencemaskan selepas gerai miliknya dihempap sebatang pokok dalam kejadian ribut malam semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.15 malam itu, Rini Sasmita Joni, 28 dari Taman Sempalit Permai, Mentakab mengalami kerugian lebih RM500 termasuk bahan jualan dan kanopi gerai miliknya yang musnah akibat kejadian terbabit.

Pokok terbabit juga menghempap sebahagian dapur rumahnya yang terletak berhampiran gerai tersebut.

"Saya sedang sibuk menyediakan sambal nasi lemak di dapur dan hujan lebat dengan angin kuat ketika itu manakala adik ipar sedang sibuk melayan pelanggan.

"Tiba-tiba pokok berhampiran gerai tumbang dan semua barangan jualan terbalik," katanya kepada Sinar Harian.

Ujarnya, hujan berterusan lebih satu jam sebelum keadaan kembali reda.

Rini menunjukkan lokasi pokok yang tumbang dalam kejadian tersebut
Rini menunjukkan lokasi pokok yang tumbang dalam kejadian tersebut

"Sejak meniaga lebih setahun, inilah kejadian kali pertama berlaku dan nasib baik semuanya selamat cuma saya dimaklumkan ada seorang pelanggan cedera ringan di tangan," katanya bersyukur tiada insiden membabitkan sebarang nyawa.

Dalam kejadian tersebut sebanyak 18 buah rumah terjejas di sekitar daerah itu membabitkan pelbagai lokasi.

Antara lokasi terjejas di Taman Saga,Kampung Tualang,Kampung Raja Songsang,Kampung Bangau Parit,Kampung Paya Kecil Ulu dan Kampung Baru Bintang.

Setakat semalam, jumlah kerugian sebenar keseluruhan masih belum diketahui.

Dan beberapa kerja pembersihan membabitkan kes pokok tumbang telah dilakukan oleh agensi terlibat.

Bantuan awal iaitu kit bencana telah diagihkan kepada mangsa yang terlibat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).