Kerajaan PN lebih teruk banding BN: Syed Saddiq

Syed Saddiq - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Syed Saddiq - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih teruk berbanding Barisan Nasional (BN) khususnya melibatkan kelulusan pendaftaran parti baharu.

Pengasasnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan BN bertindak meluluskan pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2016 namun kerajaan PN sebaliknya tidak bertindak sedemikian apabila partinya dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masih belum diluluskan setakat ini.

“Walaupun ada figura-figura besar daripada UMNO dan BN yang menjadi pengasas Bersatu, Bersatu tetap diberikan pengiktirafan dalam sistem demokrasi negara dengan pendaftarannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-252 bertajuk ‘Antara Parti Orang Muda dan Meremajakan Parti’ yang disiarkan menerusi dalam talian pada Khamis.

Wacana turut menampilkan Ketua Pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin dan Exco Pemuda Pas, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai manakala Edlynna Hanie Hamid bertindak sebagai moderator.

Syed Saddiq menambah, hujah yang diguna pakai dalam meluluskan pendaftaran partinya juga tidak masuk akal.

“Saya tidak boleh jawab bagi Pejuang tapi bagi Muda ialah kerana kita masih tunggu lepasi tapisan keselamatan. Di antara pengasas, kami ini bukan penjenayah.

“Kita dalam sistem demokrasi telah sekian lama tetapi sampai hari ini belum dapat kelulusan atas sebab tersebut,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Muar itu berkata, dalam bab berkenaan, ia menunjukkan ketakutan oleh kerajaan kepada demokrasi.

“Berkait rapat dengan beberapa tindakan yang dilakukan daripada penggantungan Parlimen, pengisytiharan darurat dan banyak lagi tindakan-tindakan lain yang melemahkan sistem demokrasi negara.

“Saya rasa itu isyarat yang jelas tetapi yang lebih menakutkan impaknya bukan sahaja akan dirasai pada hari ini tetapi bagi generasi dan dekad-dekad akan datang,” katanya.

Syed Saddiq berkata, sehingga hari ini tidak ada sesiapa atau pakar boleh menjelaskan mengapa Parlimen digantung tetapi pasar malam, bazar, sekolah atau universiti boleh dibuka.

“Parlimen yang mana majoriti ahli Parlimen telah divaksinasikan sampai hari ini tidak boleh dibuka.

“Bayangkan mesej akan datang ahli Parlimen muda di sini lima (atau) 10 tahun akan datang kalau kami dalam kerajaan dah nak hilang kuasa, isytihar darurat dan gantung Parlimen tak apa, (asalkan) kita yang berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, sepatutnya sebagai ahli politik, mereka tidak sepatutnya takut kehilangan kuasa.

“Kuasa itu ketentuan Allah dan terletak di tangan rakyat. Kalau kita hilang kuasa tak apa kita berusaha semula. Itulah sistem demokrasi yang harus kita hormati di Malaysia,” katanya.