China mulakan program bina stesen angkasa lepas

China menggunakan roket Long-March 5B untuk membawa struktur asas dalam pembinaan Stesen Angkasa Lepas pertamanya dari pusat pelancaran di Wenchang, Pulau Hainan pada Khamis. - Foto AFP
China menggunakan roket Long-March 5B untuk membawa struktur asas dalam pembinaan Stesen Angkasa Lepas pertamanya dari pusat pelancaran di Wenchang, Pulau Hainan pada Khamis. - Foto AFP
A
A
A

BEIJING - China pada Khamis melancarkan modul pertama Tianhe yang akan digunakan dalam kerja-kerja pembinaan stesen angkasa lepasnya dengan harapan untuk menempatkan seorang warganya di angkasa lepas pada masa depan.

Modul itu yang merupakan struktur asas dalam pembinaan stesen tersebut yang akan dijadikan tempat tinggal angkasawan dilancarkan dengan menggunakan roket Long-March 5B dari Wenchang di Pulau Hainan.

Menurut portal berita NASA Spaceflight.com, China telah diharamkan daripada menyertai program di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) ekoran persengketaannya dengan Amerika Syarikat (AS) yang masih belum diselesaikan.

Projek pembinaan stesen angkasa lepas itu akan berakhir pada tahun 2022 dan saiznya adalah kira-kira suku daripada ISS.

Stesen Angkasa Lepas China itu diberi nama Tiangong yang bermaksud Istana Syurga dan sebanyak 11 misi penghantaran modul akan dilakukan oleh negara tersebut sebelum ia dicantum-cantumkan dalam kerja-kerja pembinaan stesen tersebut.

Lakaran artis Stesen Angkasa Lepas China apabila siap sepenuhnya pada tahun 2022. - Foto Getty Images
Lakaran artis Stesen Angkasa Lepas China apabila siap sepenuhnya pada tahun 2022. - Foto Getty Images

Satu siaran secara langsung daripada stesen penyiaran CCTV menunjukkan kakitangan program angkasa lepas negara itu bersorak kegembiraan selepas roket tersebut dilancarkan.

Menurut AFP, stesen angkasa lepas itu adalah hampir sama dengan stesen angkasa lepas Mir milik Kesatuan Soviet yang mula digunakan pada tahun 1980an sehingga 2001.

Artikel Berkaitan:

Namun, stesen angkasa lepas yang mahu dilancarkan di China itu dijangka kekal di orbit yang rendah iaitu antara 400 dan 450 kilometer dari Bumi dan boleh digunakan selama kira-kira 15 tahun.

Berat keseluruhan stesen tersebut adalah tidak lebih 90 tan.

Pada Mac lalu, China juga menyatakan ia merancang untuk membina sebuah lagi stesen angkasa lepas sama ada di permukaan bulan atau di orbitnya dengan kerjasama Rusia untuk tujuan penyelidikan. - Agensi