PNB: Bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria pengganti Zeti

Arifin Zakaria
Arifin Zakaria
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria kini disebut-sebut akan dilantik mengantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Arifin berkhidmat sebagai ketua hakim negara antara 2011 hingga 2017.

Pengumuman mengenai pelantikan Arifin akan dibuat pada bila-bila masa sahaja.

Jumaat adalah tarikh PNB dijadual mengadakan mesyuarat agungnya.

Zeti yang merupakan bekas gabenor Bank Negara mengambil alih jawatan pengerusi PNB pada Jun 2018 daripada Tan Sri Abdul Wahid Omar, yang kini merupakan pengerusi Bursa Malaysia Bhd.

Sinar Harian pada 20 Mac lalu dalam laporan muka depannya memetik satu sumber dalaman sebagai berkata yang tempat Zeti akan diganti apabila kontraknya tamat Jumaat ini.

Laporan itu juga menyebut yang dua nama telah disenarai pendekkan untuk pertimbangan perdana menteri.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah juga Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) iaitu pemilik PNB.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, PNB dalam kenyataan medianya pada Khamis, mengumumkan bahawa Zeti secara rasmi menulis surat kepada perdana menteri menyatakan hasrat beliau untuk tidak memperbaharui tempoh perkhidmatannya.

Muka hadapan Sinar Harian pada 20 Mac lalu.
Muka hadapan Sinar Harian pada 20 Mac lalu.

Menurut kenyataan itu, Zeti telah memacu perjalanan transformasi PNB sejak pelantikan beliau sebagai pengerusi kumpulan sejak 2018, yang telah menyaksikan institusi tersebut mencapai kemajuan besar dalam tiga bidang utama.

Pertama, usaha kepelbagaian ke dalam kelas aset dan pasaran global yang lebih luas menyaksikan pendedahan PNB dalam aset antarabangsa meningkat kepada 12.3% pada akhir tahun 2020.

ARTIKEL BERKAITAN: PNB umum persaraan Zeti Aziz

Usaha ini telah mengukuhkan portfolio pelaburan PNB daripada hanya tertumpu dalam ekuiti domestik.

Kedua, PNB telah berjaya mengukuhkan keupayaan pengurusan risiko dan kecairannya, dengan fokus menurunkan peratusan pegangan tunai yang tinggi hasil daripada pengurusan pendedahan risiko pertukaran asing yang lebih besar.

PNB juga kata kenyataan itu telah memulakan transformasi organisasi di seluruh kumpulan yang menghasilkan inovasi digital, kecekapan operasi dan pengembangan bakat menerusi pelbagai inisiatif.

Sementara itu Zeti menerusi kenyataan yang sama berkata, “Kesempatan berkhidmat sebagai Pengerusi Kumpulan PNB selama tiga tahun ini ialah satu penghormatan buat saya, di mana PNB telah melaksanakan agenda transformasi organisasi dalam tempoh yang mungkin paling mencabar dan transformatif pernah dialami.

"Hari ini, agenda transformasi ini telah mendorong potensi peningkatan prestasi dan inovasi yang lebih besar, serta kecekapan yang lebih tinggi. PNB kini berada dalam kedudukan teguh untuk melakukan yang lebih baik lagi pada masa depan dan meraih penciptaan nilai jangka panjang yang disasarkan demi para pemegang unit kami.”