Jakel bantu 500 asnaf, anak yatim, ibu tunggal dan OKU

Annuar (tiga dari kanan) dan Mohamed Faroz (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada OKU sempena Majlis Fitrah Kasih di Kuala Lumpur pada Selasa.
Annuar (tiga dari kanan) dan Mohamed Faroz (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada OKU sempena Majlis Fitrah Kasih di Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat tekstil terkenal, Jakel menyerahkan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas, duit raya dan pakaian kepada 500 penerima daripada golongan asnaf, anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) pada Majlis Fitrah Kasih bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di Jakel Mall di sini pada Selasa.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, pihaknya memperuntukkan RM100,000 untuk dimanfaatkan golongan berkenaan di sekitar Kuala Lumpur.

Menurutnya, antara penerima sumbangan ialah kumpulan asnaf dan ibu tunggal daripada Kelab Amal Kebajikan Taman Kosas Ampang, anak-anak yatim dari Rumah Jalinan Kasih Anak Anak Yatim Miskin Selangor dan OKU cacat penglihatan dari Yayasan Pembangunan Masyarakat Malaysia.

“Aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini dijalankan hampir setiap hari. Jakel memberikan sumbangan berupa beras dan barang makanan kering kepada golongan yang memerlukan di seluruh Malaysia.

“Setakat ini, Jakel telah menyampaikan lebih 30,000 pek makanan di sekitar Kuala Lumpur dan kita masih ada banyak siri penyampaian bantuan yang akan dilaksanakan setiap hari,” katanya.

Annuar (dua, kiri) bersama Mohamed Faroz (kiri) menyerahkan sumbangan kepada OKU pada Majlis Fitrah Kasih anjuran Jakel di Jakel Mall.
Annuar (dua, kiri) bersama Mohamed Faroz (kiri) menyerahkan sumbangan kepada OKU pada Majlis Fitrah Kasih anjuran Jakel di Jakel Mall.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Nizam Mohamed Jakel serta Pengurus Besar Operasi dan Peruncitan Jakel Mall Kuala Lumpur, Azlan Abu Bakar.

Pada majlis itu, Annuar turut dibawa mengunjungi pusat beli-belah Jakel Mall dan beramah mesra bersama pengunjung serta penerima sumbangan.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Faroz berkata, pihaknya mengambil beberapa inisiatif untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) di premis berkenaan sentiasa dipatuhi bagi mengelak penularan Covid-19.

Menurutnya, antara langkah yang diambil adalah menempatkan barang jualan di setiap tingkat supaya pelanggan tidak terlalu tertumpu di sudut yang sama.

“Jumlah pelanggan dihadkan kepada 2,000 orang dalam satu-satu masa supaya penjarakan fizikal dapat dijaga, seiring dengan pengimbasan MySejahtera, pemakaian pelitup muka dan penyediaan cecair pembasmi kuman,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar berterima kasih kepada pihak Jakel kerana membantu rakyat Wilayah Persekutuan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Saya mewakili penerima sumbangan mengucapkan terima kasih kepada Jakel atas ihsan mereka menyampaikan sumbangan kepada kumpulan berkenaan,” katanya.