City belum selamat

City membawa kelebihan satu gol menjelang aksi timbal balik di Stadium Etihad minggu depan.
City membawa kelebihan satu gol menjelang aksi timbal balik di Stadium Etihad minggu depan.
A
A
A

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola mengingatkan para pemainnya tidak terlalu gembira dengan kemenangan 2-1 yang dilakar ke atas Paris Saint Germain (PSG) dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Parc Des Princes pada awal pagi Khamis.

Menurutnya, perjuangan untuk mara ke final belum berakhir dengan cabaran lebih besar menanti mereka pada aksi timbal balik di Stadium Etihad minggu depan.

"Saya yakin perlawanan timbal balik itu nanti akan berbeza kerana Mauricio Pochettino (pengendali PSG) akan melihat dan menilai perlawanan ini serta datang ke tempat kami dengan persediaan yang lebih rapi.

"Kami juga akan melihat kembali perlawanan ini dan melakukan sedikit perubahan agar kami mampu tampil agresif dan menyaingi PSG pada perlawanan itu nanti. Saya juga gembira dengan sikap pemain yang kekal tenang dan tidak terlalu meraikan kemenangan ini kerana kami tahu sesuatu boleh berlaku dalam aksi timbal balik," katanya.

City membawa pulang kelebihan satu gol di tempat lawan menerusi gol Kevin de Bruyne dan Riyad Mahrez apabila pasukan gergasi England itu perlu bangkit selepas ketinggalan menerusi gol Marquinhos pada babak pertama perlawanan.

Namun, rekod cemerlang PSG dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini ketika bertandang ke laman lawan dengan pernah menewaskan Manchester United, Barcelona dan Bayern Munich mungkin boleh membuatkan City sedikit gusar.

Guardiola mengharapkan persembahan sama atau lebih baik dapat dipamerkan para pemainnya sekiranya mahu mara ke perlawanan akhir sekali gus mencipta sejarah buat pasukan tersebut.

"Kami menentang pasukan PSG yang menjaringkan empat gol di Camp Nou dan menjaringkan tiga gol di Munich. Mereka pasukan yang tidak dapat dijangka dan sangat layak untuk ke final.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu dalam perlawanan hari ini, kami bermula dengan berhati-hati sehingga kami dibolosi. Saya bukan mahu memberikan alasan kerana tahu pemain sangat mengharapkan untuk dapat melangkah ke final.

"Namun, saya ingatkan pemain untuk faham bagaimana mengatasi situasi sebegini. Jangan rasa takut dan malu untuk bermain. Jika kami kalah tidak mengapa dan boleh cuba lagi musim depan. Tetapi, pemain perlu bermain dengan cara mereka sendiri.

"Elemen itu yang saya mahu lihat pada aksi timbal balik nanti dan dalam masa sama kami tidak boleh melakukan sedikit pun kesilapan," katanya.