Covid-19 makin menggila di India

Pekerja kesihatan dan ahli keluarga membawa pesakit ke hospital di Kolkata.
Pekerja kesihatan dan ahli keluarga membawa pesakit ke hospital di Kolkata.
A
A
A

ANGKA kematian keseluruhan akibat Covid-19 di India melepasi 200,000 orang pada Rabu sekali gus mencipta rekod dunia apabila mencatatkan sebanyak 360,000 jangkitan baharu dan lebih 3,000 orang meninggal dunia dalam tempoh 24 jam buat pertama kalinya.

Perangkaan Kementerian Kesihatan menunjukkan pada Rabu, secara keseluruhan seramai 201,197 orang meninggal dunia setakat Selasa lepas di negara yang mempunyai penduduk berjumlah 1.3 bilion itu.

Perangkaan pada Rabu lalu itu menjadikan kes keseluruhan jangkitan pandemik tersebut adalah sebanyak 18 juta iaitu penambahan sebanyak 360,000 kes dalam tempoh 24 jam.

Sebelum ini, kes meningkat daripada lebih 8,000 kes sehari pada Jun 2020 kepada kira-97,000 kes sehari pada 17 September 2020 yang merupakan gelombang pertama pandemik tersebut di negara berkenaan.

Dalam gelombang kedua Covid-19 kali ini di India, kes pandemik itu meningkat dari 8,000 kes sehari pada Februari 2021 kepada 103,558 sehari pada 5 April tahun ini.

Gelombang kedua itu adalah disebabkan oleh varian pandemik yang bermutasi setiap saat sehingga menghasilkan virus baharu dan cepat merebak akibat perhimpuan besar-besaran seperti keagamaan dan parti politik.

Lebih memburukkan suasana apabila tempat-tempat letak kereta awam dijadikan sebagai tempat pembakaran mayat-mayat setelah pusat pembakaran mayat dipenuhi dengan mayat pesakit Covid-19 dan mengalami kekurangan kayu untuk melakukan pembakaran mayat.

Ramai saudara-mara pesakit yang dijangkiti virus itu turut berada di hospital-hospital bagi menemani pesakit bagi mendapatkan rawatan dan mencari ubat-ubatan yang boleh digunakan untuk merawat Covid-19, tetapi usaha mereka itu adalah sia-sia.

Artikel Berkaitan:

India mengalami gelombang kedua Covid-19 selepas angka kematian keseluruhan akibat pandemik itu melepasi 200,000 orang pada Rabu lalu. - AFP
India mengalami gelombang kedua Covid-19 selepas angka kematian keseluruhan akibat pandemik itu melepasi 200,000 orang pada Rabu lalu. - AFP

Di bandar Patna, timur India, seorang lelaki, Praney Punj terpaksa singgah dari sebuah farmasi ke sebuah farmasi untuk mendapatkan ubat antivirus, Remdesivir yang digunakan untuk merawat ibunya yang sedang sakit.

Beliau akhirnya berjaya menemui seorang kakitangan farmasi yang menyatakan ubat itu hanya boleh dibeli di pasaran gelap.

Kakitangan farmasi itu kemudian menawarkan untuk membeli ubat itu pada harga 100,000 rupee (RM5,513) yang 30 kali lebih tinggi daripada harga pasaran.

Punj membuat keputusan untuk tidak membeli ubat tersebut sebaliknya mendapatkannya daripada saudara jauhnya yang kehilangan isteri akibat Covid-19.

Dalam pada itu, di sebuah hospital New Delhi, terdapat tiga pesakit yang dijangkiti pandemik itu berkongsi hanya sebuah katil.

Sejumlah pesakit yang mengalami kesukaran untuk bernafas tiba dengan menaiki beca, kereta dan ambulans bagi mendapatkan bekalan oksigen di sebuah rumah ibadat Sikh di bandar Ghaziabad, Uttar Pradesh.

Terdapat khemah didirikan di luar rumah ibadat itu yang menyediakan beberapa tabung oksigen untuk kegunaan pesakit-pesakit yang terbaring di atas bangku dan beca dalam keadaan lemah.

Beberapa saudara-mara cuba menggunakan kadbod untuk mengipas ahli keluarga mereka yang mencatatkan suhu sehingga 38 darjah Celsius dan terbaring serta sukar bernafas ketika menunggu untuk mendapatkan bekalan oksigen di luar rumah ibadat tersebut.

Suasana itu berlaku kerana hospital-hospital di negara tersebut mengalami masalah kekurangan katil dan tabung-tabung oksigen.

Walaupun berlaku peningkatan kes Covid-19, kira-kira 25,000 orang mengambil bahagian dalam upacara keagamaan Kumbh Mela dengan mandi di Sungai Ganges pada hari terakhir Selasa lalu selepas ia bermula pada 1 April lalu di bandar Haridwar, utara India.

Menurut portal NDTV, dalam tempoh lima hari sahaja iaitu antara 10 hingga 15 April lalu, lebih 2,000 pengunjung upacara keagamaan itu disahkan positif pandemik tersebut.

Menurut AFP, ramai pengunjung upacara keagamaan itu tidak memakai pelitup muka menyebabkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi dikritik kerana membenarkan upacara keagamaan tersebut diadakan semasa Covid-19 masih belum reda.

Seorang lelaki menunggu untuk mengisi semula tabung oksigen untuk pesakit Covid-19 di stesan pengisian semula gas tersebut di Allahabad, India pada 24 April lalu. - AFP
Seorang lelaki menunggu untuk mengisi semula tabung oksigen untuk pesakit Covid-19 di stesan pengisian semula gas tersebut di Allahabad, India pada 24 April lalu. - AFP

Berikutan peningkatan kes itu, sebahagian keluarga pesakit Covid-19 diminta oleh pihak hospital supaya mencari tabung oksigen untuk kegunaan sendiri menyebabkan laman Twitter dan Facebook dibanjiri dengan rayuan untuk mendapatkannya.

Menurut AFP, seorang wanita, Priyanka Mandal, 55, berkata, beliau akhirnya berjaya membeli sebuah tabung oksigen dan enam kilogram oksigen pada harga AS$400 (RM1,640) iaitu lebih tinggi berbanding nilai pasaran.

Tabung oksigen itu adalah untuk ibunya yang mengalami masalah diabetes yang dimasukkan ke hospital setelah kesihatannya merosot.

Di bandar Lucknow, utara India, seorang lelaki, Ahmed Abbas dikenakan bayaran sebanyak 45,000 rupee (RM2,481) untuk 46 liter tabung oksigen iaitu sembilan kali lebih tingggi daripada harga biasa.

India juga dilaporkan merancang untuk mengimport 50,000 tabung oksigen dan sebuah kereta api khas bagi membawa tabung tersebut dikenali sebagai Ekspres Oksigen untuk mengangkutnya ke negeri-negeri yang teruk dilanda Covid-19. - Agensi