Pendengaran rayuan kes Najib ditambah sehari lagi

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan melanjutkan perbicaraan rayuan kes SRC International Sdn Bhd bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi tempoh sehari lagi, pada 6 Mei ini.

Pendengaran rayuan itu sepatutnya tamat hari ini (Rabu), namun oleh kerana pasukan pembelaan Najib tidak dapat menamatkan jawapan mereka kepada kes pendakwaan, mahkamah telah melanjutkan tempoh pendengaran kes itu.

Terdahulu hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil "menegur" pasukan pembelaan Najib, supaya tidak mengulangi apa yang telah mereka hujahkan sebelum ini.

"Kita dengar perkara yang sama berkali-kali. Anda sedang mengulanginya. Kebanyakan isu sudah disentuh, cuba fokus kepada isu yang benar-benar substantif.

"Terus sahaja kepada maksud anda. Buat sesuatu yang boleh lekat dalam fikiran kita, jangan terpesong. Kami sedang mendengar, mendengar dan mendengar.

"Kita tidak tahu sama ada ketika ini ia adalah berkaitan dengan pertuduhan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) atau pecah amanah. Terus kepada perkara utama, yang penting adalah jadikan ia lebih jelas, supaya kita boleh lihat dengan jelas, kalau tidak bercelaru kita semua," katanya.

Semasa ditanya hakim sama ada peguam boleh menyelesaikan hujah mereka hari ini Harvinderjit Singh menjawab: “Yang Arif, saya perlukan sekurang-kurangnya separuh hari untuk mengemukakan hujah saya, dan selepas itu Tan Sri Muhammad Shafee akan menyentuh mengenai derma Arab”.

Pada ketika itu pendakwa ad hoc Datuk V.Sithambaram berdiri dan secara berseloroh berkata “Jika Yang Arif tidak tegas, kita aka berada di sini sehingga Hari Raya Haji," dan disambut dengan gelak ketawa di dalam mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Hakim Abdul Karim yang mendengar rayuan bersama dengan Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, kemudian menetapkan 6 Mei sebagai hari tambahan kepada pendengaran rayuan Najib.

Asalnya rayuan Najib ditetapkan untuk didengar selama 12 hari dari 5 April hingga 22 April. Kemudian susulan permohonan pasukan pembelaannya, mahkamah memberikan hari tambahan pada 27 dan 28 April.Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib setelah mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan, melibatkan RM42 juta dana SRC International. - Bernama