Waspada pakej umrah palsu

Dr Ismail (tiga, kiri) dan Razali (dua, kiri) beramah mesra dengan pempamer yang menyertai program.
Dr Ismail (tiga, kiri) dan Razali (dua, kiri) beramah mesra dengan pempamer yang menyertai program.
A
A
A

ALOR SETAR - Orang ramai yang berhasrat menunaikan ibadah umrah dan haji dinasihatkan agar memilih agensi pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Exco Agama, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, terlalu banyak syarikat yang menawarkan pakej menunaikan umrah dan haji, pada harga jauh lebih rendah berbanding kebiasaan.

Menurutnya, pemohon hendaklah menyemak latar belakang agensi terbabit bagi mengelak terjebak dengan penipuan pakej umrah/haji palsu.

“Apabila ditawarkan harga murah, ramai yang tertarik dan terus mendaftar tanpa fikir kesannya, selepas itu mulalah wujud pelbagai masalah seperti visa, penerbangan mahupun tempat penginapan,” katanya.

Dr Ismail berkata, pihaknya bersyukur kerana setakat ini penipuan seperti itu tidak melibatkan jemaah dari Kedah, mahupun terdapat agensi pelancongan dari negeri ini yang memperdaya orang ramai.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran Umrah dan Pelancongan Islam Zon Utara di Wisma Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Hadir sama, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham.

Razali berkata, pada tahun ini pihaknya belum menerima laporan berhubung penipuan pakej umrah, namun terdapat aduan berkaitan masalah teknikal seperti penerbangan dibatalkan atau ditunda, serta masalah lain.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini, jika hendak tahu sama ada agensi itu menjalankan pakej umrah yang sah atau tidak, kita terpaksa periksa sendiri, namun kini tidak perlu lagi bimbang ditipu dan boleh memilih pakej yang sah daripada agensi pelancongan berlesen menerusi e-PAPUH,” katanya.

Menurutnya, jumlah aduan penipuan juga semakin berkurangan sejak dua tahun lalu.

“e-PAPUH merupakan portal tempahan umrah secara dalam talian dengan memasukkan pakej-pakej daripada agensi pelancongan berdaftar sebagai ahli PAPUH, agar bakal jemaah dapat memilih pakej yang sesuai, ia juga antara usaha mengekang aktiviti penipuan pakej umrah terus berlaku,” katanya.

Razali berkata, jumlah agensi pelancongan yang menjadi ahli PAPUH dijangka meningkat kepada lebih 800 agensi dalam tempoh tiga bulan akan datang setelah Kementerian Pelancongan mewajibkan agensi terlibat mendaftar dengan portal itu.

“Daripada 700 agensi yang mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) yang diiktiraf, hanya 285 agensi telah mendaftar dengan e-PAPUH. Kementerian Pelancongan akan menjadikan PAPUH sebagai pengendali rasmi dalam mengawal kewujudan agensi tidak bertauliah,” katanya.

Menurutnya, bagi mengelak ditipu, orang ramai juga perlu memeriksa pakej murah yang ditawarkan tidak kurang daripada RM4,000.

“Pakej minimum tahun lalu sekitar RM4,900 tetapi sekarang RM4,000 pun boleh ditawarkan, susulan harga tambang kapal terbang dan penginapan atau harga lain menurun. Yang membezakan pakej harga selalunya disertakan dengan servis perkhidmatan oleh agensi berkenaan,” katanya.