PSG lancar perang psikologi

Pochettino (kiri) ketika mengemudi Tottenham Hotspur menyambut Guardiola ketika aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Stadium Tottenham Hotspur pada 9 April 2019.
Pochettino (kiri) ketika mengemudi Tottenham Hotspur menyambut Guardiola ketika aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Stadium Tottenham Hotspur pada 9 April 2019.
A
A
A

PENGENDALI Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino secara terbuka mengakui pengurus Manchester City, Pep Guardiola sebagai antara jurulatih terbaik di dunia ketika ini.

Kenyataan Pochettino itu seolah-olah satu perang psikologi menjelang pertembungan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara antara PSG dan City di Le Parc des Princes awal pagi Khamis ini.

Menurut Pochettino, kredibiliti Guardiola tidak bermula ketika bersama City, sebaliknya terbentuk sejak pengendali berusia 50 tahun dari Sepanyol itu mengendali Barcelona dan Bayern Munich.

“Saya mengagumi Guardiola kerana dia berjaya menjadikan Manchester City sebagai salah sebuah kelab terbaik di Eropah. Dia menjalankan tugas yang sangat mengagumkan di Manchester City.

“Saya fikir dia jurulatih hebat dan dibantu barisan kejurulatihan yang juga hebat. Ini disebabkan saya amat mengenali mereka yang bekerja dengannya. Dia seorang jurulatih yang selalu memikirkan strategi berbeza dan taktikal permainan yang berlainan.

“Kelab seperti Manchester City memberikan dia keyakinan penuh dalam membuat keputusan, itu juga sangat penting. Kelab yang mempercayai anda akan memberikan keselesaan kepada anda untuk bekerja,” katanya.

Guardiola yang berjaya membantu Barcelona menjuarai trofi Liga Juara-Juara sebanyak dua kali kini dalam usaha membimbing City mara ke pentas final buat kali pertama dalam sejarah kelab itu.

Terdahulu, Guardiola berjaya mengakhiri badi City tersekat tiga kali di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan kelab Jerman, Borussia Dortmund dengan kemenangan agregat 4-2.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pochettino berkata, skuad kendaliannya cukup teruja untuk berdepan dengan The Citizens selepas berjaya menyingkirkan penyandang juara, Bayern Munich dalam aksi suku akhir.

“Motivasi dalam kalangan pemain sebenarnya tinggi kerana mereka benar-benar mahu memenangi Liga Juara-Juara. Majoriti pemain mempunyai pengalaman beraksi di pentas final musim lalu.

“Sekarang tugas mereka mengalahkan Manchester City tetapi ia bukan satu tugas mudah. Apa pun kami akan bekerja keras untuk merealisasikan impian mara ke final seterusnya menjuarai gelaran Eropah,” ujarnya.