2 ditahan guna surat Istana Negara palsu rentas negeri

Surat rentas negeri disyaki palsu yang diserahkan oleh dua suspek ketika ditahan di Jalan P Ramlee di sini pada Isnin.
Surat rentas negeri disyaki palsu yang diserahkan oleh dua suspek ketika ditahan di Jalan P Ramlee di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua individu ditahan di Jalan P Ramlee di sini pada Isnin kerana mengemukakan tiga surat dokumen rentas negeri dengan menggunakan kepala surat atas nama Istana Negara disyaki palsu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya telah menahan seorang wanita dan lelaki berusia 27 dan 47 tahun dalam keadaan mencurigakan pada jam 10.30 malam.

"Semasa pemeriksaan dijalankan, wanita tersebut menyerahkan tiga keping surat dokumen rentas negeri yang disyaki palsu untuk digunakan bagi pelepasan rentas negeri.

"Surat tersebut menggunakan kepala surat atas nama Istana Negara, Jalan Tunku Abdul Rahman yang mana surat tersebut menjelaskan kebenaran daripada Duli Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohamad Zainal berkata, surat tersebut juga menyatakan wanita itu sebagai Datuk.

"Gelaran Datuk itu disyaki palsu, lelaki tersebut pula merupakan pembantu kepada suspek dan merupakan anak saudaranya," katanya.

Menurutnya, semakan rekod jenayah ke atas wanita tersebut mendapati suspek pernah terlibat dengan siasatan di bawah Seksyen 489(C) Kanun Keseksaan dan 420 Kanun Keseksaan pada tahun 2017 dan 2018.

"Kedua-dua individu itu kini direman tiga hari bermula Selasa sehingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Zainal menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan pergerakan rentas sempadan negeri menggunakan Borang Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia.

"Sebarang maklumat berkaitan penggunaan dokumen rentas negeri yang tidak sah boleh disalurkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Dang Wangi Kuala Lumpur di talian 03-2600222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999," katanya.