Usahawan Palestin keluarkan kereta sport

Ahli perniagaan berketurunan Palestin, Jihad Mohammad memandu sendiri kereta sport elektrik di Beirut pada 24 April lalu. - Foto AFP
Ahli perniagaan berketurunan Palestin, Jihad Mohammad memandu sendiri kereta sport elektrik di Beirut pada 24 April lalu. - Foto AFP
A
A
A

WALAUPUN Lubnan mengalami krisis ekonomi yang teruk, seorang ahli perniagaan berketurunan Palestin masih sanggup untuk melabur dan mengeluarkan kereta sport pertama negara tersebut yang menggunakan kuasa elektrik.

Syarikat EV Electra milik ahli perniagaan itu, Jihad Mohammad yang berusia 50 tahun mempamerkan kereta sport itu buat pertama kalinya di negara berkenaan pada Sabtu lalu di sebuah tempat letak kenderaan di selatan Beirut.

Kenderaan itu diberi nama Quds Rise yang mana Quds dalam bahasa Arab turut merujuk kepada Baitulmuqaddis yang sekali gus bermaksud kebangkitan Baitulmuqaddis dalam bahasa Melayu dan merupakan satu cetusan idea daripada ahli perniagaan tersebut.

Bahagian hadapan kereta sport itu dihiasi dengan logo keemasan bangunan Dome of Rock atau kubah batu atau Qubbat As-Sakhrah dibina pada zaman dinasti Umayyah antara tahun 691 dan 715 yang terletak dalam pekarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis.

Kenderaan itu dijual pada harga AS$30,000 (RM122,925) sebuah dan boleh mencapai kelajuan sehingga 180 kilometer sejam dan sebanyak 10,000 unit akan dikeluarkan lewat tahun ini di Lubnan.

EV Electra juga merupakan syarikat pertama di dunia Arab yang akan mengeluarkan kereta sport elektrik.

Mohammad dilaporkan berkata kepada AFP bahawa beliau menubuhkan syarikat EV Electra empat tahun lalu di Lubnan selepas tinggal selama beberapa tahun di luar negara dan menggaji 300 kakitangan termasuk jurutera Palestin dan Lubnan dan proses menghasilkan kenderaan berkenaan.

Beliau yang menjadi Ketua Pegawai Eksekutif syarikatnya itu dilaporkan berkata, harga keretanya itu adalah yang paling murah di dunia dan hanya sejumlah kecil orang sahaja yang mungkin mimpi untuk memandu sebuah kenderaan elektrik pada harga tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pusat Penyelidikan dan Pembangunan syarikat itu di Beirut pula dilaporkan membina enjin dan baterinya.

Kereta itu diharapkan dapat memasuki pasaran Eropah pada lewat tahun ini.

Kereta sport yang dinamakan sebagai Quds Rise.
Kereta sport yang dinamakan sebagai Quds Rise.

Namun, kenderaan itu dikeluarkan ketika Lubnan berdepan dengan krisis ekonomi yang teruk dan jualan kereta import berada dalam tahap yang rendah ekoran nilai tukaran mata wang negara tersebut mengalami kemerosotan jika dibandingkan dengan dolar Amerika Syarikat (AS) terutamanya di pasaran gelap.

Menurut angka yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengimport Automobil di Lubnan, sebanyak 62 buah kenderaan baharu dijual dalam tempoh dua bulan pertama pada tahun ini berbanding 1,876 buah kereta yang dijual bagi tempoh yang sama pada tahun 2020.

Krisis ekonomi yang berlaku lewat pada tahun 2019 itu telah menyebabkan lebih separuh penduduk di negara tersebut hidup dalam kemiskinan.

Penduduk Lubnan dilaporkan berjumlah 6.8 juta pada tahun lalu.

Masalah kewangan di Lubnan turut disumbangkan oleh peningkatan perbezaan politik sehinggakan institusi-institusi kewangan antarabangsa menyatakan terpulang kepada negara tersebut untuk menangani krisis ekonominya.

Bagaimanapun, pengeluaran kereta elektrik itu berdepan dengan cabaran tersendiri iaitu selain keadaan kelembapan ekonomi, Lubnan berhadapan isu penyaluran bekalan tenaga elektrik untuk kegunaan awam.

Ini adalah kerana ia menghadapi masalah penyaluran bekalan tenaga elektrik sejak Perang Saudara meletus pada tahun 1975 hingga 1990 dan semakin memburuk dalam krisis ekonomi negara tersebut yang masih belum pulih sepenuhnya.

Penduduk Lubnan ketika ini mengalami masalah menerima bekalan elektrik pada setiap hari menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada janakuasa untuk menghidupkan peralatan yang menggunakan tenaga elektrik.

Namun, Mohammad berkata, para pembeli akan ditawarkan untuk membayar separuh harga kereta itu dalam bentuk dolar Amerika manakala baki bayarannya boleh dibuat menerusi mata wang pound Lubnan.

Pembeli-pembeli kereta tersebut ditawarkan untuk membuat pembayaran selama lima tahun tanpa kadar faedah.

Syarikat beliau juga merancang untuk membina kira-kira 100 stesen pengecas kereta tersebut di seluruh negara itu yang akan dihubungkan dengan janakuasa. - Agensi