Maritim Kudat tahan bot beroperasi lesen tamat tempoh

A
A

KUDAT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kudat menahan sebuah bot tunda yang disyaki beroperasi menggunakan lesen telah tamat tempoh di perairan Pulau Sepirak, di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander (M) Boon Chin Chau berkata, bot berkenaan ditahan pada pukul 3.40 petang ketika dalam perjalanan dari Pulau Sepirak ke Kampung Malibang, Pitas.

“Pemeriksaan dalam bot itu mendapati terdapat 11 awak-awak berumur antara 30 hingga 60 tahun terdiri daripada sembilan warga Indonesia dan dua orang warga Filipina,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, bot berkenaan bersama awak-awak ditahan dan dibawa ke jeti awam Kudat untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1969/63.

Katanya, Maritim akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras dan mengurangkan perlanggaran undang-undang di zon Maritim Malaysia.

“Orang ramai juga dinasihat menghubungi Malaysian Emergency Respond System (MERS 999) atau Pusat Operasi Maritim Kudat di talian 088-611858 jika mempunyai sebarang maklumat berhubung jenayah atau kejadian kemalangan yang berlaku di perairan negara,” katanya.- Bernama