X

Kindly register in order to view this article
!

Neelofa, suami, ahli keluarga dikompaun RM60,000

A
A

KUALA LUMPUR - Selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali PU Riz serta ahli keluarga dikenakan kompaun berjumlah RM60,000 selepas didapati ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kertas siasatan kes terbabit telah dikembalikan dari Pejabat Peguam Negara pada Isnin dengan keputusan mengenakan kompaun.

Menurutnya, tindakan itu diambil di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No. 4) 2021.

"Noor Neelofa dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 (tiada diskaun dibenarkan) bagi dua kesalahan iaitu selaku penganjur telah gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP Penganjuran Majlis Sosial PKPB apabila gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung.

"Kedua, melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4(2)(d) Peraturan-Peraturan yang sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran yang diberikan oleh pihak polis," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, suami Neelofa iaitu Muhammad Haris dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 (tiada diskaun dibenarkan) kerana melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4 (2)(d) Peraturan-Peraturan yang sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran yang diberikan oleh pihak polis.

Tambahnya, kesemua ahli keluarga Neelofa iaitu seramai 20 orang turut dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 seorang yang berjumlah RM30,000 kerana gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung.

"Semua yang terlibat akan dikeluarkan kompaun pada 27 April 2021," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan langgar SOP: Keluarga selebriti beri keterangan

Katanya, jumlah keseluruhan kompaun adalah sebanyak RM60,000.

Justeru, pihak PDRM menasihati orang ramai supaya terus mematuhi PKPB. Kegagalan mematuhi perintah ini membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa.

5 April lalu, Mohamad Zainal mengesahkan telah merekodkan keterangan pasangan itu berhubung majlis perkahwinan mereka yang didakwa melanggar SOP PKP.

Neelofa, 32, selamat diijabkabulkan dengan pelakon dan pendakwah bebas, PU Riz, 26, di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac lalu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!