Pembelajaran di sekolah diteruskan

Radzi pada sidang media berkenaan isu semasa pengoperasian sekolah di kementeriannya pada Isnin.
Radzi pada sidang media berkenaan isu semasa pengoperasian sekolah di kementeriannya pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneruskan sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah di seluruh negara.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pihaknya melihat keadaan jangkitan Covid-19 di peringkat sekolah telah dapat dibendung dengan baik melalui prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.

Menurutnya, SOP itu juga akan terus ditingkatkan di sekolah-sekolah namun sekiranya Majlis KeselamatanNegara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan sebaliknya maka situasi itu akan menjadi berbeza.

“Dari perspektif kami, kami komited untuk memastikan anak-anak ini dapat ke sekolah,” katanya pada sidang media berkenaan isu semasa pengoperasian sekolah di kementeriannya pada Isnin. Sejak kebelakangan ini, banyak kluster pendidikan direkodkan hingga menyebabkan beberapa sekolah di negara ini ditutup kembali walaupun baru memulakan sesi persekolahan bersemuka awal bulan ini.

Keadaan ini mewujudkan kebimbangan ramai hingga ada pihak mencadangkan penutupan semula semua sekolah bagi mengawal dan mengelak risiko penularan Covid-19.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi turut menjelaskan mengenai 99 kluster pendidikan yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, kluster yang diumumkan itu adalah meluas dan ianya termasuk institut pengajian tinggi, sekolah di bawah kerajaan negeri, sekolah swasta, tadika dan sebagainya.

“Jadi tidak semua komponen ini di bawah operasi KPM,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Radzi berkata, daripada 99 kluster pendidikan itu, hanya 52 kluster membabitkan institusi di bawah KPM dengan melibatkan 2,274 kes.

“Baki 47 kluster pula membabitkan institusi lain dengan jumlah 4,275 kes,” katanya.

Dalam sidang medianya juga, Mohd Radzi berkata, cabaran terbesar KPM dalam mengendalikan kes Covid-19 membabitkan murid-murid yang tinggal di asrama.

Beliau berkata, KPM turut menubuhkan satu ‘taskforce’ bagi menumpukan usaha terhadap keadaan di asrama penuh dan harian.

Mengulas mengenai statistik kehadiran ke sekolah, Mohd Radzi berkata, ianya adalah sama seperti mana sebelum Covid-19 melanda.

“Kehadiran sebelum Covid-19 datang pada tahun 2020 adalah sekitar 80 peratus ke atas. “Kehadiran akhir-akhir ini adalah 80.53 peratus.

Jadi secara umumnya kehadiran ke sekolah adalah seperti mana kehadiran yang berlaku sebelum Covid-19 datang,” katanya. Beliau turut melihat bahawa murid-murid juga teruja untuk datang ke sekolah.

“Secara umumnya murid-murid nak ke sekolah dan apabila murid-murid ini ke sekolah, kita lihat guru-guru boleh melihat tahap penguasaan mereka.

“Guru-guru tahu macam mana dalam tempoh yang ada ini untuk mereka membawa murid-murid ini mencapai tahap penguasaan minima.

Itu yang dilaksanakan oleh guru-guru apabila sekolah dibuka,” katanya.

Mohd Radzi turut menjelaskan, murid-murid yang tidak mahu datang ke sekolah juga tidak pernah didenda, namun ibu bapa perlu memaklumkan kepada pihak sekolah mengenai ketidakhadiran anak-anak mereka.

“Bila kita buat senarai kehadiran pada jam 10 pagi kita kumpulkan ikut sebab.

Salah satu sebabnya adalah ibu bapa risau jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa agar tidak perlu menghantar anak-anak mereka ke sekolah sekiranya mereka bergejala.

“Kalau ibu bapa ada yang kena kuarantin, pakai gelang atau positif Covid-19 kita mohon jasa baik ibu bapa buat pertimbangan jangan hantar ke sekolah supaya jangkitan ini tidak dibawa ke sekolah,” jelasnya.