Biarpun kecoh, ijazah palsu masih dijual di Internet

No Image Caption
A
A
A

Beberapa tahun dulu, isu sijil akademik palsu cetuskan kontroversi kerana membabitkan sebuah universiti terkemuka di Malaysia. Tahun 2019 ini pula kecoh mengenai ijazah didakwa membabitkan Timbalan Menteri Luar yang juga Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya, diikuti beberapa lagi pemimpin -pemimpin Pakatan Harapan terpalit kontroversi ijazah akademik palsu.

Antaranya Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan terbaharu, ijazah dimiliki Menteri Kewangan, Lim Guan Eng turut dipersoalkan.

Saban hari kisah ijazah palsu disiarkan media tempatan dan menjadi perbualan hangat netizen. Topik ini diperkatakan setiap hari tetapi dalam kecoh kita bercerita ijazah palsu pemimpin politik sana-sini, sindiket menjual sijil akademik palsu tetap juga menjalankan aktiviti mereka.

Kegiatan sindiket ini seperti tidak takut langsung dengan situasi kes ijazah palsu yang sedang didedahkan ketika ini. Skuad Sinar Siasat menemukan laman web menjual sijil akademik palsu dengan harga serendah RM2,000 hingga RM8,000. Bagi sesiapa yang berminat, semua peringkat akademik sedia dijual! Nak diploma mahupun ijazah.

Ikuti pendedahan oleh wartawan Sinar Siasat minggu ini.

Jual ijazah palsu di laman web

No Image Caption

TIDAK menjadi satu masalah pun kepada sindiket menjalankan aktiviti menjual ijazah akademik palsu walaupun dalam situasi negara ketika ini sedang kecoh dengan isu ijazah akademik palsu melibatkan beberapa pemimpin politik.

Artikel Berkaitan:

Mereka tetap menjalankan aktiviti itu secara dalam talian dengan menjual sijil palsu khususnya peringkat diploma dan ijazah dengan harga serendah RM8,000.

Skuad Sinar Siasat yang menyamar sebagai pembeli mendapati sindiket yang beroperasi menerusi internet hanya menjual sijil palsu dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sepanjang siasatan dibuat, seiring dengan situasi melibatkan kes sijil palsu sekarang ini, mereka didapati lebih berhati-hati apabila urusan pembelian pada awalnya cuma dilakukan melalui e-mel sebelum mereka memberikan nombor telefon untuk dihubungi.

Selepas diberikan nombor telefon, Skuad Sinar Siasat terus berurusan melalui aplikasi WhatsApp dan mesej dibalas oleh seorang individu dikenali sebagai Azman (bukan nama sebenar).

Kata Azman, harga bagi sijil peringkat ijazah adalah RM9,000 manakala harga sijil peringkat diploma RM8,000 dan dia hanya membuat sijil palsu daripada UiTM.

"Sijil ni palsu dan tiada rekod di universiti. Kalau apa-apa berlaku ketika awak minta kerja atau apa sahaja urusan, tidak ada siapa akan tanggung," kata Azman.

Menurutnya, sijil boleh siap dalam tempoh seminggu dan akan dihantar kepada pembeli dengan menggunakan perkhidmatan pos.

ARTIKEL BERKAITAN: Sijil palsu: 30 hingga 40 kes direkod sebulan

ARTIKEL BERKAITAN: Undang-undang kawal ijazah palsu masih lemah

Tegas Azman, tiada urusan tawar menawar ke atas harga yang telah ditetapkan dan jika setuju, dia akan memberikan nombor akaun untuk membuat pembayaran sebelum sijil itu diproses.

Sekali lagi, Skuad Sinar Siasat menggunakan helah dengan cuba mengajaknya untuk bertemu dengan alasan risau sekiranya berlalu penipuan, memandangkan jumlah bayaran membuat sijil itu boleh dikatakan agak tinggi.

Namun, Azman menegaskan sebarang urusan hanya dilakukan melalui WhatsApp dan khidmat pos.

Jika tidak mempercayai khidmat ditawarkannya, maka dia tidak akan meneruskan transaksi untuk urusan memproses sijil palsu itu.

Skuad Sinar Siasat turut berjaya mengesan sebuah laman web sindiket dari luar negara yang menjual sijil akademik palsu dari mana-mana universiti seluruh dunia.

Tidak terkecuali Malaysia, sindiket tersebut boleh membuat ijazah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , UiTM, Universiti Multimedia dan juga sijil SPM atau STPM.

Malah, sindiket itu juga mengaku boleh membuat apa juga jenis sijil termasuk menggunakan nama universiti yang tidak wujud sekiranya diminta oleh pelanggan.

Menariknya, laman sesawang mereka kelihatan amat meyakinkan kerana mengandungi testimoni pengguna, sesi soal jawab dan ruangan berbual (chat). Harga ditawarkan cuma sekitar RM2,000.