Polis tahan 'Kancil lejen'

Pemandu kereta Perodua Kancil 'lejen' tidak mempunyai lesen memandu.
Pemandu kereta Perodua Kancil 'lejen' tidak mempunyai lesen memandu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah menahan sebuah kereta Perodua Kancil 'lejen' di Bandar Metropolitan Kepong di sini pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas kereta itu pada jam 1 pagi.

"Pemeriksaan mendapati pemandu berusia 47 tahun itu tidak mempunyai lesen memandu, kita turut mengeluarkan saman terhadap lelaki itu.

"Pemeriksaan ke atas kereta itu pula mendapati ia tidak mempunyai cukai jalan, tidak mempunyai bumbung dan tayar kereta hadapan sebelah kanan pecah," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Zulkefly berkata, lelaki itu telah menunjukkan sebuah lagi kereta Perodua Kancil warna hijau yang tidak mempunyai nombor pendaftaran dan cermin pecah di pintu belakang sebelah kiri.

"Kedua-dua kereta itu tidak layak berada di atas jalan raya dan membahayakan kepada pengguna yang lain.

"Dua kenderaan tersebut ditahan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kancil lejen' kembali dikesan di jalan raya di Kepong

Pada Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan 'Kancil lejen' kembali tular di media sosial selepas kenderaan tersebut dilihat berada di atas jalan sekitar Kepong.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menerusi kemas kini di Facebook memaklumkan telah melaporkan perkara itu kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil tindakan lanjut.

Beliau pada Selasa lalu turut kongsi video kereta tersebut berada di atas jalan raya dan menggesa pihak berkuasa termasuk pihak polis mengambil tindakan sebelum kejadian tidak diingini berlaku.