Vaksin Covid-19: Kesan sampingan beri manfaat berbanding mudarat

Dr Adeeba (kanan) bersama Dr Masita Arip bawah dalam program bertajuk Vaksin vs Covid-19: Mana Lebih Baik yang disiarkan secara langsung di Facebook Science Media Centre pada Sabtu.
Dr Adeeba (kanan) bersama Dr Masita Arip bawah dalam program bertajuk Vaksin vs Covid-19: Mana Lebih Baik yang disiarkan secara langsung di Facebook Science Media Centre pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masyarakat tidak perlu bimbang terhadap kesan sampingan vaksin Covid-19 memandangkan ia memberi lebih manfaat berbanding mudarat.

Pakar penyakit berjangkit, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, kesan sampingan yang dialami penerima vaksin merupakan perkara biasa yang akan dihadapi oleh individu tersebut.

Katanya, ia juga merupakan petanda yang positif memandangkan badan penerima bertindak balas dengan vaksin tersebut.

“Saya bangga apabila mendapat kesan sampingan sebab dari situ saya tahu, badan saya sudah mula respon terhadap vaksin tersebut.

“Namun jika seseorang itu tidak mempunyai kesan sampingan vaksin tersebut, ia tidak bermaksud badan seseorang itu tidak memberikan respons terhadap vaksin itu.

“Hal ini kerana kesan sampingan itu berbeza mengikut individu tersebut,” katanya dalam program bertajuk Vaksin vs Covid-19: Mana Lebih Baik yang disiarkan secara langsung di Facebook Science Media Centre pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Dr Adeeba berkata, kesan sampingan yang diterima penerima vaksin masih boleh dikawal dan dirawat malah individu yang menerima suntikan itu juga perlu menunggu terlebih dahulu bagi melihat kesan sampingan yang dialami.

“Malah jika di lihat, prosedur operasi standard (SOP) tersebut merupakan langkah yang dilakukan demi memastikan keselamatan penerima.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana individu yang mempunyai kesan sampingan akan dirawat dengan segera berdasarkan kesan yang dialami,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Patologi (Mikrobiologi & Imunologi) Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr Masita Arip berkata, penerima vaksin juga harus jujur kepada pegawai kesihatan yang menyaring sebelum mereka mendapat suntikan.

Menurutnya, ini bagi memastikan vaksin yang diterima itu selamat dan memberi kesan terhadap individu tersebut.

“Jadi, kalau pegawai kesihatan bertanya mengenai latar belakang kesihatan, maka kita perlu jujur dan jangan berbohong. Kalau tidak dibenarkan mendapatkan suntikan pada hari tersebut ia tidak bermaksud mereka tidak layak untuk divaksinasi.

“Ini kerana kita nak pastikan mereka yang terima vaksin itu stabil serta untuk mengelakkan tindak balas imun bercampur,” katanya.