22 ahli Geng 18 Dato’ Suresh, Geng 21 Sunder diberkas

Rakaman kegiatan kumpulan kongsi gelap melakukan keganasan yang tular di media sosial.
Rakaman kegiatan kumpulan kongsi gelap melakukan keganasan yang tular di media sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 22 lelaki disyaki terlibat dengan dua kumpulan kongsi gelap yang dikenali sebagai 'Geng 18 Dato’ Suresh' dan 'Geng 21 Sunder' ditahan dalam Op Cantas Sinecura pada Rabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 35 hingga 48 tahun itu ditahan di sekitar Puchong, Serdang, Kapar dan Klang.

"Kita berjaya memberkas 12 orang termasuk ketua dan ahli Geng 18 Dato’ Suresh dan 10 orang termasuk ketua dan ahli Geng 21 Sunder," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Huzir berkata, hasil siasatan mendapati kesemua suspek mempunyai satu hingga sembilan rekod kesalahan jenayah lampau.

"Majoriti suspek mempunyai tiga hingga lima rekod kesalahan jenayah lampau, antara kes-kes tersebut adalah mendatangkan kecederaan, gaduh gempar, samun, dadah dan lain-lain," katanya.

Menurutnya, kumpulan itu didapati terlibat dengan aktiviti kongsi gelap dan pelbagai kes jenayah kekerasan seperti merusuh, pemerasan serta mendatangkan kecederaan.

"Operasi ini dijalankan ekoran video yang tular pada 25 November lalu, di mana sekumpulan lelaki (Geng 18 Dato’ Suresh) merusuh dan mencederakan mangsa di sebuah pusat hiburan di Brickfields.

"Seorang anggota polis yang secara kebetulan menjalankan tugas risikan di pusat hiburan berkenaan telah dikepung, ditengking dan dipukul oleh kumpulan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dalam kejadian berasingan yang berlaku di Kapar, Selangor pada 21 Januari 2020, sekumpulan lelaki (Geng 21 Sunder) bersenjatakan parang, kayu dan besi telah menyerang seorang mangsa sehingga mendatangkan kecederaan yang serius.

"Kita turut mengesan beberapa klip video yang menunjukkan tindakan ganas serta agresif kumpulan berkenaan.

"Hasil siasatan juga mendapati terdapat 10 laporan polis melibatkan kumpulan tersebut," katanya.

Huzir berkata, penularan video tersebut telah menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

"Kita memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan kumpulan kongsi gelap dan gengsterisme.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap kumpulan yang melanggar undang-undang serta cuba mengganggu gugat ketenteraman awam," katanya.

Huzir memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).