Proses edaran benih padi fasa pertama selesai 30 April depan

Ronald berucap pada Program Srikandi Muda “Leadership Empowerment" 2021 pada Jumaat.- Foto: Bernama (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ronald berucap pada Program Srikandi Muda “Leadership Empowerment" 2021 pada Jumaat.- Foto: Bernama (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses edaran benih padi sah fasa pertama bagi musim tanaman baharu penanaman padi di seluruh negara akan selesai pada 30 April ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sebahagian besar benih padi telah dihantar menerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) untuk diagihkan kepada pesawah terlibat.

"(Misalnya) Di Kedah, kita mempunyai tiga peringkat penanaman padi. Fasa pertama berakhir 30 April ini.

"Saya dimaklumkan semua benih telah pun dihantar dan ia mencukupi bagi fasa pertama penanaman padi sehingga 30 April. Fasa berikutnya akan dihantar secara berterusan oleh NAFAS," katanya selepas menghadiri program Srikandi Muda Leadership Empowerment 2021 pada Jumaat.

Baru-baru ini, media melaporkan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) mendakwa berlaku masalah kelewatan benih padi sah ketika ini, sehingga menjejaskan musim tanaman baharu ke atas sebahagian besar petani.

Menurut pengerusinya Fuad Yaacob, pengedar tunggal benih iaitu Nafas masih gagal membekalkan benih padi sah ke sebahagian besar kawasan tanaman di Semenanjung. - Bernama

Artikel Berkaitan: