Fadhli persoal pemilihan Achi Jaya ambil alih BPlant, desak LTAT beri penjelasan

SHAH ALAM – Pemilihan syarikat yang mempunyai operasi perladangan berskala lebih kecil bagi mengambil alih kepentingan Boustead Plantations Bhd (BPlant) menerusi transaksi bernilai hampir RM4 bilion menimbulkan persoalan mengenai asas penilaian dan kemampuan kewangannya.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) perlu memberikan penjelasan terperinci berhubung pemilihan Achi Jaya Plantations Sdn Bhd, khususnya apabila dua syarikat lain iaitu SD Guthrie Bhd dan Tradewinds Plantation Bhd turut bersaing dalam proses berkenaan.
Menurut beliau, Achi Jaya dilaporkan mempunyai operasi perladangan yang jauh lebih kecil berbanding dua pesaing tersebut.
“Apakah asas penilaian yang menyebabkan syarikat ini dilaporkan diberikan keutamaan?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan LTAT memilih Achi Jaya Plantations Sdn Bhd untuk mengambil alih BPlant pada nilai anggaran hampir RM4 bilion.
Sumber yang mengetahui urus niaga tersebut berkata, Achi Jaya berjaya mengatasi persaingan daripada SD Guthrie Bhd dan Tradewinds Plantation Bhd, dua syarikat yang memiliki operasi perladangan berskala lebih besar.
Pemilihan itu turut menarik perhatian kerana SD Guthrie merupakan antara pengeluar minyak sawit terbesar di dunia.
Mengulas lanjut, Fadhli berkata, berdasarkan laporan media yang memetik penyata kewangan 2024, Achi Jaya merekodkan hasil sebanyak RM379 juta, keuntungan selepas cukai RM109 juta dan aset semasa RM93 juta.
Beliau turut berpandangan bahawa struktur pemilikan benefisial terkini Achi Jaya wajar didedahkan kepada umum bagi memastikan proses berkenaan dilaksanakan secara telus serta mengelakkan sebarang kemungkinan konflik kepentingan.
“Justeru, struktur pembiayaan transaksi bernilai berbilion ringgit ini, termasuk sumber dana dan jaminan pembayaran, perlu diperjelaskan,” katanya.
Ketua Penerangan Pas itu berkata, Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun kewangan 2022 sebelum ini mendedahkan penjejasan nilai pelaburan sebanyak RM812 juta yang tidak direkodkan membabitkan Boustead Holdings Bhd dan Pharmaniaga Bhd.
Menurutnya, laporan yang sama turut mendedahkan LTAT mencatatkan rizab negatif RM338 juta, kerugian tidak nyata RM662 juta dalam 41 portfolio saham lama serta menggunakan keuntungan bukan tunai sebanyak RM189 juta sebagai asas pembayaran dividen bagi tahun 2022.
“Sebarang pelupusan aset strategik bernilai berbilion ringgit mesti dilaksanakan secara telus, berhemah dan berpaksikan kepentingan pencarum,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
