Operasi bazar Aidilfitri dilanjutkan hingga 2 pagi bermula esok

 Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bazar Aidilfitri di seluruh negara dibenar beroperasi hingga jam 2 pagi berkuat kuasa esok berbanding 12 tengah malam sebelum ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lanjutan tempoh operasi itu dibenarkan selepas mendengar rayuan daripada penjaja bazar.

"Kita dimaklumkan pengunjung mula keluar selepas solat Isyak dan tarawih dan bila kita benarkan mereka beroperasi setakat jam 12 tengah malam waktu berniaga terlalu pendek," katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Jumaat.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) sambutan Aidilfitri, Ismail Sabri berkata, ia sedang diperhalusi dan akan diumumkan minggu hadapan setelah mendengar pembentangan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkenaan SOP perayaan itu termasuk solat sunat Aidilfitri, ziarah kubur dan takbir raya dari rumah ke rumah.

Mengenai sesi persekolahan, beliau berkata, sebarang keputusan perlu melalui Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum sebarang tindakan termasuk penutupan sementara sekolah dibuat.

“Saya berharap kerajaan negeri tidak membuat sebarang keputusan sendiri berhubung penutupan atau pembukaan sekolah kerana ia berada di bawah bidang kuasa KPM, walaupun kita faham (terdapat) kebimbangan daripada ibu bapa.

“Keputusan sekolah ditutup atau buka adalah keputusan KPM setelah berbincang dengan KKM. KKM akan memberi pandangan kepada KPM berdasarkan penilaian risiko,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: