Maqis rampas udang Iran bernilai hampir RM1 juta

Udang import dari Iran yang dirampas Maqis dalam pemeriksaan rutin pada Rabu lalu.
Udang import dari Iran yang dirampas Maqis dalam pemeriksaan rutin pada Rabu lalu.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor menahan dua kontena yang mengandungi 48 tan udang diimport dari negara Iran di Tapak Pemeriksaan Kontena, Gudang CFS 2, pada Rabu lalu.

Pengarahnya, Zamri Hashim berkata, menerusi pemeriksaan rutin yang dilakukan itu mendapati kontena terbabit membawa 4,000 kotak udang sejuk beku tanpa permit import yang sah.

Zamri berkata, semua barangan dagangan yang ditahan dalam pemeriksaan itu dianggarkan bernilai RM972,305.83.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728). Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Zamri berkata, Maqis akan sentiasa memastikan kecekapan anggotanya dalam setiap pemeriksaan untuk semua keluaran pertanian yang diimport ke negara ini.

Katanya, langkah itu bagi menjamin setiap keluaran pertanian yang dibawa masuk ke negara ini tidak mempunyai perosak dan penyakit serta mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.

Artikel Berkaitan: