Kerajaan lulus pinjaman RM1.387 bilion bagi program PKS Penjana

Tengku Zafrul - Foto Bernama
Tengku Zafrul - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah meluluskan sebanyak 7,387 permohonan dengan jumlah nilai pinjaman sebanyak RM1.387 bilion di bawah program Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) setakat 9 April, 2021.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, di bawah program tersebut, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion yang mengutamakan PKS yang belum pernah mendapat pinjaman daripada bank sebelum ini.

Bagi tempoh yang sama katanya, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat Program Subsidi Upah (PSU) 1.0 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Penjana.

Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Ke-50 pada Khamis.

Katanya, permohonan PSU 1.0 yang diluluskan telah mencapai nilai RM12.872 bilion.

Di bawah PSU 2.0 setakat 9 April, Tengku Zafrul berkata, sejumlah RM1.148 bilion telah disalurkan di bawah Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (Kita Prihatin) kepada 73,210 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 631,801 pekerja.

“Bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan, seramai 132,403 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program ini, berbanding 132,118 pada minggu sebelumnya.

“Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuklah pembuatan serta perdagangan borong dan runcit,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, bagi menyokong penggunaan teknikal dan digital bagi PKS dan syarikat di peringkat pertengahan (MTC), sejumlah RM62.5 juta telah disalurkan kepada 13,859 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi, setakat 9 April.

Bagi inisiatif lain seperti Elaun Khas Barisan Hadapan, beliau berkata, sebanyak RM651.15 juta telah disalurkan berdasarkan 1,842,935 tuntutan berbanding RM647.33 juta berdasarkan 1,822,927 tuntutan pada minggu sebelumnya.

Ini terdiri daripada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan pandemik Covid-19.

Elaun khas ini juga dipanjangkan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, anggota Angkatan Pertahanan Awam dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ingin ditekankan di sini bahawa kerajaan akan terus fokus kepada pemulihan ekonomi Malaysia.

“Bagi tahun 2021, sokongan kepada rakyat dan sektor perniagaan bagi memastikan pemulihan ekonomi tetap diteruskan melalui Belanjawan 2021,” katanya.

Bagi membantu rakyat dan perniagaan semasa PKP 2.0 dan banjir yang lebih teruk daripada biasa, katanya kerajaan turut melancarkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang bernilai RM15 bilion pada Januari. - Bernama