Lelaki bunuh abang diperintah jalani rawatan di Hospital Bahagia

Mohd Khairul dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Alor Setar selepas diperintahkan menjalani rawatan di Hospital Bahagia Hulu Kinta pada Khamis.
Mohd Khairul dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Alor Setar selepas diperintahkan menjalani rawatan di Hospital Bahagia Hulu Kinta pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis melepas dan membebaskan seorang bekas pemandu lori daripada hukuman membunuh abangnya menggunakan pisau di Lunas, Kulim dalam kejadian kira-kira tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha bagaimanapun memerintahkan tertuduh, Mohd Khairul Perbakaran, 57, menjalani rawatan di Hospital Bahagia Hulu Kinta sehingga tempoh mendapat pengampunan Sultan Kedah.

Ghazali membuat keputusan itu di akhir perbicaraan selepas mendapati Mohd Khairul menghidap skizofrenia dan berada dalam keadaan tidak waras ketika melakukan perbuatan tersebut.

Tertuduh didakwa menyebabkan kematian S Mohana Krishinan, 55, di Kampung Kelapa, Batu 8, Lunas Kulim, kira-kira jam 5 hingga 5.30 petang pada 11 September 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 320 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Dalam penghakimannya, Ghazali berkata, berdasarkan keterangan dikemukakan tiga saksi, tertuduh dalam keadaan tidak waras ketika melakukan perbuatan tersebut dan tidak mengetahui akibat daripada perbuatannya.

"Mengikut keterangan saksi, tertuduh merupakan seorang individu yang kerap berkunjung ke surau kampung mereka sebelum berkelakuan pelik, seperti melaungkan 'Allahuakbar' dengan kuat hingga mengejutkan kariah surau.

"Tertuduh menjalani kehidupan bahagia bersama keluarga selama 20 tahun. Pada tahun 2016, dia dikatakan mula diam, mengasingkan diri, bercakap seorang sendiri, tidak mahu mahu makan atau minum," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, laporan dan pemerhatian Hospital Bahagia Ulu Kinta membuktikan Mohd Khairul menghidap penyakit skizofrenia dan dalam keadaan tidak waras serta tidak mengetahui akibat daripada perbuatannya.

Mahkamah sehubungan itu membuat kesimpulan bahawa tertuduh mengalami masalah mental dan merasakan dirinya terancam dan secara kebetulan abangnya berada di lokasi ketika kejadian.

"Mahkamah berpendapat hujah pihak pendakwaan bahawa tertuduh dalam keadaan waras apabila cuba menghilangkan bukti dengan mengelap darah pada pisau yang digunakan untuk menikam abangnya adalah spekulasi sahaja.

"Kita mendapati tertuduh tidak cuba melarikan diri atau membuang pisau itu, sebaliknya berada di tempat kejadian. Padahal Mohd Khairul boleh melarikan diri kerana hanya dia dan abangnya sahaja berada di tempat kejadian ketika itu," katanya.

Oleh itu, mahkamah memerintahkan tertuduh ditahan di Hospital Bahagia Hulu Kinta seberapa lama sehingga mendapat perkenan Sultan Kedah mengikut Seksyen 348 (1) Kanun Prosedur Jenayah

Tertuduh diwakili peguam Ali Munawar Razak, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Kedah, Sharifah Syazwani Syed Hussin.