TLDM bantu pencarian kapal selam TNI Indonesia

Kapal selam KRI Nanggala-402 - Foto Kompas.com
Kapal selam KRI Nanggala-402 - Foto Kompas.com
A
A
A

JAKARTA - Malaysia akan turut membantu Indonesia dalam pencarian kapal selam milik Angkatan Laut Tentera Indonesia (TNI), KRI Nanggala 402, yang terputus hubungan dan hilang di perairan utara Pulau Bali.

Ketua Pusat Penerangan TNI, Mejar Jeneral Achmad Riad berkata, kapal Tentera Laut Diraja Malaysia, Mega Bakti dijangka tiba pada 26 April ini bagi bersama-sama mengesan kapal selam berkenaan.

"Bantuan daripada pihak ketiga (negara luar dalam operasi mencari kapal selama itu), antaranya dari Singapura, berupa kapal Swift Rescue, kapal ini adalah kapal penyelamat kapal selam yang mengalami kendala (masalah) di bawah air. Swift Rescue dijangka tiba di lokasi pada 24 April. (manakala) Malaysia, kapal Rescue Mega Bakti, akan tiba pada 26 April," katanya pada sidang media secara hibrid di Bali pada Khamis.

Selain itu, beliau berkata, tujuh negara lain iaitu Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Turki, India dan Australia juga menawarkan bantuan dalam pencarian kapal selam TNI yang terputus hubungan selepas melakukan latihan penembakan torpedo pada Rabu.

“Kedudukan terakhir ialah 23 batu di utara Pulau Bali. Kronologi kejadian ialah pada jam 3.46 pagi, KRI Nanggala melaksanakan penyelaman, kemudian pada jam 4 pagi bersiap sedia untuk melakukan penembakan torpedo, pada 4.25 pagi selepas arahan kebenaran penembakan diberikan, komunikasi dengan Nanggala telah terputus,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Indonesia: Kapal selam TNI hilang di perairan Bali

Artikel Berkaitan: