Wakaf buku demi didik masyarakat

Mohamad Din
Mohamad Din
A
A
A

[DIKEMASKINI] Penularan Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia telah memberikan impak yang besar kepada kehidupan masyarakat sehingga menyebabkan kita terpaksa menjalani kehidupan dengan norma baharu.

Perubahan itu telah memberikan ilham kepada Pengasas Utas Travel & Tours, Datuk Mohamad Din Yusoh untuk menerbitkan buku bertajuk Covid-19 Melanda Negara dan Dunia dengan mewujudkan satu konsep baharu yang dipanggil wakaf ilmu dalam era pandemik ketika ini. Kandungan buku itu yang mempunyai 226 halaman mempunyai beberapa tajuk iaitu Ujian Kepada Manusia dan Peringatan ALLAH, Menghargai Masa Semasa Covid-19, Selepas Covid dan Mencuri Masa di Tempat Kerja dan Cara Solat Jumaat Semasa Covid. Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, Nor Farhana Yaacob bersama Mohamad Din baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Boleh Datuk ceritakan bagaimana tercetusnya idea penghasilan buku ini?

MOHAMAD DIN: Idea menulis buku ini hadir ketika dunia dilanda musibah Covid-19 dan Malaysia melaksanakan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu. Saya terfikir untuk menyumbang idea dan rujukan dalam bentuk penulisan yang boleh dikongsikan bersama rakyat Malaysia.

Saya bermula dengan mengkaji dan mengumpul maklumat daripada bahan-bahan bercetak yang terdapat di perpustakaan peribadi saya di rumah. Bagi memastikan maklumat yang dikemukakan dalam buku ini tepat, berwibawa, hukum-hakamnya teratur, ia telah disemak dan diteliti oleh bekas Mufti Johor, Datuk Noh Gadut; Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan mufti dari negeri-negeri lain dan sahabat saya.

Buku ini juga disemak oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Datuk Mohd Nordin Ibrahim yang merupakan bekas Ketua Pengarah Jakim.

Apakah antara isi kandungan yang menarik dalam buku ini?

Buku ini membawa kepada kekeliruan masyarakat awam berkaitan pelaksanaan solat Jumaat disebabkan arahan yang berbeza-beza antara negeri-negeri lain. Umpamanya solat Jumaat tiga orang termasuk imam, tiga orang tidak termasuk imam, 12 orang termasuk imam dan ada juga 40 orang termasuk imam.

Artikel Berkaitan:

Alasan utama adalah disebabkan untuk menjaga penjarakan fizikal. Justeru, apa yang berlaku perlu dilihat dari sudut positif bagaimana kita sebagai umat Islam perlu memahami dan mendapat jawapan tepat berkaitan dengan persoalan yang berlegar dalam kalangan masyarat mengenai hikmah ujian besar ini kepada manusia, khususnya kepada umat Islam itu sendiri.

Buku Covid-19 Melanda Negara dan Dunia yang diterbitkan oleh Mohamad Din.
Buku Covid-19 Melanda Negara dan Dunia yang diterbitkan oleh Mohamad Din.

Buku ini juga turut menyingkap persoalan dan kupasan pelaksanaan solat Jumaat ketika pandemik ini melanda sebagai alternatif untuk melaksanakan syariat Islam secara berterusan.

Apakah yang dimaksudkan bahawa buku ini dapat memberi pengajaran dan keinsafan kepada pembaca?

Saya mengangkat tema bencana Covid-19 dalam buku ini untuk melihat kepada pengajaran dan merumusnya kembali secara tersurat dan tersirat. Jika pembaca menghayati dan mendalami perkara ini mereka akur bahawa alam ini dicipta oleh ALLAH SWT dilengkapi dengan peraturan alam yang telah ditentukan secara law of nature atau sunnatullah.

Bagaimanakah cara untuk mendapatkan buku tersebut?

Bagi individu atau sesiapa sahaja yang berhasrat memiliki buku ini untuk koleksi sendiri atau diwakafkan sebagai wakaf ilmu, boleh hubungi Pustaka Tawjih yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Pihak pencetakan dan saya sendiri tidak menyimpan stok buku ini di premis kami. Semuanya berada di Pustaka Tawjih selaku pengedar tunggal buku ini. Perlu saya ingatkan lagi, buku ini diwakafkan sepenuhnya tanpa sebarang bayaran kecuali untuk kos pengeposan kurier.

Berapakah sasaran jumlah buku yang akan diwakafkan?

Buku ini sebenarnya telah diedarkan di Melaka melalui Jabatan Mufti Negeri di tempat saya sebanyak 8,000 naskhah manakala di negeri Johor yang diselia oleh Noh sebanyak 11,000 naskhah mengambil kira keluasan negeri tersebut.

Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan Jabatan Mufti Pahang masing-masing 8,000 naskhah dan mufti-mufti negeri-negeri lain kemungkinan dalam proses menyemak.

Terkini saya turut mendapat permintaan daripada mufti kerajaan Brunei sebanyak 3,000 naskhah. Ini bererti keseluruhan naskhah yang dicetak telah mencecah 60,000 dan kerja-kerja mencetak sedang berjalan untuk cetakan kelima. Jika ada lagi permintaan daripada jabatan-jabatan mufti di negeri-negeri yang belum menerima buku ini saya menjangkakan unit yang tercetak akan mencecah hingga 107,000 naskhah.

Majlis pelancaran buku Covid-19 Melanda Negara dan Dunia yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam di Hotel Muzaffar, Ayer Keroh, Melaka pada awal April lalu.
Majlis pelancaran buku Covid-19 Melanda Negara dan Dunia yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam di Hotel Muzaffar, Ayer Keroh, Melaka pada awal April lalu.

Mengapa orang ramai perlu mendapatkan buku ini?

Saya berkeyakinan mereka yang telah membaca buku ini atau belum memiliki dan berhasrat untuk membaca buku ini pasti dapat mengambil manfaat daripada setiap topik yang dikemukakan.

Buku ini merangkumi banyak perkara yang wajib dihayati ketika kita berada dalam musibah Covid-19 ini terutamanya daripada aspek akidah kupasan terperinci berkaitan hukum-hakam yang berlegar dalam kehidupan harian seperti solat Jumaat dan solat-solat sunat yang lain.

Tidak ketinggalan juga daripada aspek pengurusan ekonomi yang membawa kepada sebab utama keruntuhan institusi keluarga pada hari ini.

Buku ini sesuai untuk semua peringkat umur berdasarkan kepada topik-topik perbincangan yang telah disusun khususnya kepada orang Islam.