X

Kindly register in order to view this article
!

JHEAIK jalin kerjasama dengan Skuad Badar, Ansar

Azhar (dua dari kanan) turun padang membantu anggota penguatkuasa JHEAIK menjalankan tugas penguatkuasaan.
A
A

SUNGAI PETANI - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) Skuad Badar dan Skuad Ansar bagi membantu kerja-kerja penguatkuasaan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JHEAIK Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya turut bersedia menjalin kerjasama dengan mana-mana NGO lain dengan syarat perluberdaftar serta tidak mendahului Pejabat Agama Daerah (PAD) masing-masing.

Menurutnya, setakat ini, Skuad Badar dan Skuad Ansar merupakan pertubuhan berdaftar serta aktif melakukan pencegahan jenayah syariah sebelum ini.

"Skuad Ansar aktif di Kuala Ketil sejak beberapa tahun kebelakangan ini manakala Skuad Badar aktif di Sungai Petani selepas didaftarkan secara rasmi bermula Oktober tahun lalu," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, bantuan dan sokongan daripada NGO dapat melancarkan tugas penguatkuasaan khususnya dari segi penyaluran maklumat dan bantuan tenaga kerana anggota PAD yang terhad berbanding kawasan pentadbiran di sesebuah daerah yang luas.

"Kita harap bantuan NGO dapat melancarkan operasi dan pencegahan jenayah syariah akan lebih mantap," jelasnya.

Sementara itu, Presiden Skuad Badar, Azhar Mohamad berkata, pihaknya telah beberapa kali membantu PAD Kuala Muda melaksanakan tugas penguatkuasaan tahun ini.

"Perbincangan telah diadakan dan kami juga bersetuju merujuk terlebih dahulu PAD sebelum melaksanakan sebarang tindakan," katanya.

Beliau berkata, mereka bersedia pada bila-bila masa sekiranya dipanggil membantu di lapangan dan telah menyumbang tenaga menyertai operasi yang dianjurkan PAD dan JHEAIK.

"Setakat ini Alhamdulillah kerana dapat meneruskan tugas cegah maksiat bersama anggota penguat kuasa agama setelah pertubuhan ini berdaftar dan mula bekerjasama sejak tahun lalu," jelasnya.

Pada 2019, Skuad Badar pernah didakwa menjalankan operasi cegah jenayah syariah secara haram dengan melanggar Akta Pertubuhan 1966.

Tindakan skuad itu menjadi tular kerana dikatakan menakutkan pasangan yang dicekup berkhalwat di kawasan perkuburan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!