Fatwa di Negeri Sembilan tetapkan kalimah ALLAH hanya untuk orang Islam

Abdul Aziz (tiga dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada pengamal media pada Majlis Berbuka Puasa dan Ramah Mesra Mains bersama Media pada Selasa.
Abdul Aziz (tiga dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada pengamal media pada Majlis Berbuka Puasa dan Ramah Mesra Mains bersama Media pada Selasa.
A
A
A

PORT DICKSON - Fatwa Negeri Sembilan yang diwartakan pada 14 September 2016 telah menetapkan bahawa kalimah ALLAH adalah khusus untuk umat Islam sahaja.

Sehubungan itu, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata, masyarakat Islam khususnya di negeri ini perlu melindungi kalimah ALLAH dengan cara terbaik.

"Berkenaan isu yang berbangkit berkenaan penggunaan kalimah ALLAH, MAINS ingin menjelaskan bahawa di Negeri Sembilan telah ada undang-undang mengenai isu ini yang telah digubal berasaskan peruntukan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

"Pertamanya ialah Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam) (Negeri Sembilan) 1991 atau Enakmen No.9/1991 telah diluluskan di Negeri Sembilan dan mula berkuat kuasa pada 5 April 2007," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa dan Ramah Mesra MAINS bersama Media di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Beliau berkata, enakmen itu telah menyenaraikan sebanyak 36 perkataan-perkataan yang dilarang dan tidak boleh dikaitkan dengan agama bukan Islam termasuk penggunaan kalimah ALLAH.

"Sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka tindakan perlulah diambil mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

"Demi menjaga keharmonian dan perpaduan rakyat, sekali gus memelihara sensitiviti setiap rakyat dan agama, MAINS menyeru agar rakyat bukan Islam di Negeri Sembilan akur dan patuh kepada undang-undang sedia ada.

"Bagi rakyat yang beragama Islam, hendaklah juga mematuhi fatwa yang telah diwartakan," kata beliau.

Artikel Berkaitan: