Isu kalimah ALLAH: KDN adakan libat urus dengan cendekiawan Islam

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengadakan Majlis Libat Urus Bersama Cendekiawan Islam dan Asatizah di Parlimen semalam, sebagai satu proses penyediaan cadangan penambahbaikan Arahan Pentadbiran berkaitan penggunaan kalimah ALLAH.

KDN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, majlis tersebut selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 5 Jun lepas, supaya kerajaan mengharmonikan situasi semasa dan pada masa sama meletakkan penggunaan kalimah ALLAH pada konteks yang betul dengan mengambil kira keselamatan negara, kemaslahatan ummah dan kedudukan Baginda serta Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam.

Melalui sesi libat urus itu, para jemputan telah diberikan ruang untuk mengutarakan cadangan bagi menoktahkan isu berbangkit mengenai kawalan dan penguatkuasaan penerbitan yang berkenaan di Malaysia, dalam lingkungan skop mengekalkan dasar sedia ada berhubung penggunaan kalimah ALLAH.

"Dapatan siri libat urus tersebut kelak akan diteliti dan dirumuskan di peringkat KDN, dalam bentuk cadangan penambahbaikan Arahan Pentadbiran yang baharu, sebelum diangkat kepada Jemaah Menteri, setelah mengambil kira keputusan dasar daripada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Majlis Raja-Raja, yang kesemuanya dijadualkan pada 2023,” menurut kenyataan KDN itu.

KDN turut memberikan penerangan terperinci mengenai pendirian dan komitmen kerajaan dalam menyelaraskan peruntukan undang-undang Islam demi keselamatan negara, kemaslahatan ummah serta kedudukan Institusi Diraja.

Kenyataan itu memaklumkan siri libat urus tersebut akan diteruskan dengan segmen pihak berkepentingan lain, khususnya bersama Key Opinion Leader, Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bagi memastikan KDN memperoleh cadangan dan penyelarasan yang holistik dalam urusan penambahbaikan Arahan Pentadbiran KDN 1986.

KDN juga menyatakan komitmen mereka dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam dari semasa ke semasa, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 serta Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. - Bernama