X

Kindly register in order to view this article
!

Kanak-kanak bawah 12 tahun dilarang ke bazar Ramadan

Mohd Rashidi
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan dengan melarang pengunjung membawa kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah ke tapak tersebut.

Pemangku Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, perkara tersebut diputuskan setelah pihaknya bermesyuarat bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Ahad berkenaan SOP di bazar Ramadan.

Menurutnya, SOP di bazar Ramadan diperketatkan berdasarkan tinjauan dibuat pada minggu pertama Ramadan mendapati pengunjung tidak mematuhi SOP tersebut.

Beliau menambah, pihaknya juga bertemu dengan para operator bazar pada Selasa untuk menggunakan sistem penomboran di semua bazar bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mengelakkan operasi di tapak tersebut menjadi terlalu padat.

“Selain itu, kita mewujudkan satu ‘task force’ melibatkan Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan serta menambah penolong pegawai persekitaran daripada Jabatan Sisa Pepejal untuk membantu dari segi pemantauan SOP di bazar Ramadan.

“Kami mohon kerjasama daripada semua pengunjung untuk bersabar tapi inilah yang kita perlu lalui ketika negara dilanda Covid-19 untuk memastikan agar kluster baharu daripada bazar Ramadan tidak wujud,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa (Iftar Ramadan) MBSA 2021 dan Penyerahan Sumbangan kepada Kakitangan MBSA pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Rashidi ketika ditemui di Hotel Concorde di sini berkata, pihaknya menempatkan seramai 200 penguat kuasa yang bertugas dengan bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk memantau pemantuhan SOP di bazar Ramadan.

Bagaimanapun, jumlah penguat kuasa yang ditempatkan di tapak bazar bergantung kepada keluasan lokasi.

“Gunakanlah peluang berniaga yang diberikan oleh kerajaan negeri dengan sebaiknya, kalau boleh kita cuba untuk mempermudahkan urusan dari awal hingga ke akhirnya.

“Kita tidak mahu bazar Ramadan ini ditutup hanya sebab ketidakpatuhan SOP daripada pengunjung dan kita mahu agar bazar ini berjalan lancar,” katanya.

Majlis iftar tersebut merupakan inisiatif MBSA untuk membantu kakitangan yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban sepanjang bulan Ramadan.

Mohd Rashidi berkata, seramai 105 warga kerja MBSA menerima sumbangan mengikut kriteria tertentu diberikan melalui Tabung Majikan Prihatin MBSA bernilai RM300 dan mendapat tambahan RM100 serta barangan bernilai RM50 daripada Kelab Rekreasi MBSA.

Majlis iftar tersebut turut dihadiri oleh pengamal-pengamal media sekitar Selangor yang banyak menyumbang jasa dan bakti dalam menyiarkan program serta aktiviti MBSA kepada orang ramai khususnya warga Shah Alam.

Program turut diisi dengan Tazkirah Ramadan oleh penceramah jemputan dari Akademi Sinergi Ikhlas, Fazrul Ismail bertajuk ‘Ramadan Bukan Biasa-Biasa’ sementara menunggu waktu berbuka.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!