X

Kindly register in order to view this article
!

Polis, TNB bongkar kegiatan curi elektrik untuk melombong Bitcoin

Polis dan TNB membongkar kegiatan mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan aktiviti melombong Bitcoin dalam serbuan di enam premis di Seri Kembangan dan Bandar Kinrara. - Foto 123RF
A
A

SERDANG - Polis dan Tenaga Nasional Berhad membongkar kegiatan mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan aktiviti melombong mata wang digital Bitcoin, dalam serbuan di enam premis di Seri Kembangan dan Bandar Kinrara di sini pada 8 dan 17 April lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata, serbuan pertama melibatkan tiga premis di Pusat Perdagangan Bandar Putra Permai, Seri Kembangan pada 8 April, dan pihaknya telah menahan seorang lelaki dan wanita warga China, dipercayai penjaga premis itu.

Katanya, kedua-dua suspek berumur 32 dan 38 tahun yang tidak mempunyai sebarang rekod perjalanan sah, direman sehingga 28 April untuk siasatan lanjut.

Dalam serbuan kedua di Jalan Damai 3, Taman Damai Utama, Bandar Kinrara pada Ahad lepas pula, tiada tangkapan dilakukan.

“Sejumlah 297 mesin lombong dirampas daripada kedua-dua serbuan, dan nilai rampasan dianggarkan lebih kurang RM100,000,” katanya dalam sidang akhbar Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat, selain Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Sementara itu Mohd Rosdi berkata, seorang lelaki berusia 22 tahun yang dipercayai pengedar dan juga penghantar dadah, ditahan bersama sembilan kilogram syabu dalam serbuan operasi khas di Serdang Raya, Seri Kembangan, pada kira-kira 5.30 petang Khamis lepas.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, pihaknya menemui sembilan bungkusan plastik lutsinar di atas tempat duduk bahagian penumpang dan belakang kereta yang dipandu suspek, dengan anggaran berat 9.28 kilogram.

“Suspek bertindak agresif dan berlaku pergelutan sebelum dia ditahan. Harga pasaran dadah yang dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM380,000. Sebuah kereta jenis Honda City turut disita untuk siasatan lanjut. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau berhubung kesalahan jenayah dan dadah, yang dilakukan sejak tujuh tahun lepas,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata suspek giat melakukan kegiatan mengedar dan menghantar dadah kepada pengedar lain di sekitar Lembah Klang, sejak sebulan yang lalu.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!