Malaysia 'tidak lembap' jalankan program imunisasi: Khairy

Khairy (kanan) bersama Dr Adham pada sidang media mengenai perkembangan terkini Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Ibu Pejabat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini. - Foto Bernama
Khairy (kanan) bersama Dr Adham pada sidang media mengenai perkembangan terkini Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Ibu Pejabat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia tidak ‘lembap’ dalam menjalankan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menteri Penyelaras program, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berkongsi jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 berkata, di negara ini kini berjumlah 1,144,841 dos daripada 1,559,540 jumlah dos yang telah dihantar.

Dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai perkembangan program itu di sini hari ini, Khairy berkata, seramai 701,812 individu telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 setakat ini, dan 443,029 individu pula telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka.

Mengenai persoalan ramai pihak mengenai kadar vaksinasi Malaysia yang dikatakan lambat walaupun negara menerima bekalan vaksin Covid-19 secukupnya, beliau berkata, kerajaan memahami kegusaran rakyat yang masih menunggu untuk divaksinasi namun mereka perlu menunggu giliran dalam fasa yang ditetapkan.

"Sudah dimaklumkan setiap daripada mereka perlu menunggu giliran dalam fasa yang ditetapkan, seperti fasa pertama untuk barisan petugas hadapan, fasa kedua untuk golongan warga emas dan sebagainya. Kita mesti patuh kepada fasa yang telah ditetapkan mengikut kategori masing-masing,” katanya.

Menurut Khairy Jamaluddin, program vaksinasi Malaysia yang dijalankan mengikut jadual atau fasa adalah seperti kaedah yang digunakan di luar negara seperti United Kingdom (UK) yang menggunakan jadual umur di negara itu.

Namun di UK hanya akan membuka pendaftaran vaksinasi ketika seseorang itu layak menerima vaksin mengikut umur yang ditetapkan, manakala di Malaysia membuka peluang pendaftaran untuk vaksinasi kepada semua rakyat Malaysia sejak awal tidak kira umur atau pecahan kategori, katanya.

Setakat ini, katanya seramai 8,992,832 individu telah mendaftar di aplikasi MySejahtera, dengan jumlah warga emas yang berumur 60 tahun ke atas yang berdaftar ialah 1,438,974 orang, orang kurang upaya (136,798 orang) dan individu berpenyakit kronik seramai 2,029,297 orang.

Artikel Berkaitan:

Menurut Khairy Jamaluddin, negeri paling tinggi dengan pendaftaran menerima vaksin ialah Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya dengan pencapaian ratio sebanyak 98 peratus, diikuti Selangor dan WP Kuala Lumpur masing-masing 50 peratus, Pulau Pinang (45 peratus) dan Negeri Sembilan 44 peratus.

Mengenai bekalan vaksin pula, beliau berkata Malaysia akan menerima bekalan tambahan vaksin Pfizer-BioNTech sebanyak 128,700 dos pada 21 April ini, diikuti 36,270 dos pada 22 April dan 12,870 dos pada 23 April. - Bernama