Perak salur RM200,000 baik pulih rumah mangsa ribut

Saarani (baju merah) ketika meninjau keadaan rumah penduduk yang terjejas akibat ribut di Kampung Tasek, Ipoh pada Ahad.
Saarani (baju merah) ketika meninjau keadaan rumah penduduk yang terjejas akibat ribut di Kampung Tasek, Ipoh pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan menanggung keseluruhan kos pembaikan 127 rumah mangsa yang terjejas akibat ribut di Kampung Tasek, Bercham di sini, Rabu lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, sebanyak RM200,000 disalurkan menerusi Yayasan Perak bagi tujuan berkenaan yang melibatkan kerja-kerja membaiki bumbung dan beberapa kerosakan lain dialami mangsa.

Menurutnya, Pejabat Daerah dan Tanah telah diarah membuat kajian terperinci mengenai tahap kerosakan itu dan mengenal pasti kontraktor yang membuat kerja pembaikan.

"Kerajaan negeri mahu kerja-kerja baik pulih ini disegerakan dan kalau boleh dimulakan esok (Isnin) kerana kita maklum mereka yang terlibat ini semua dalam kalangan keluarga agak susah. Rumah pun rumah sewa dan sebahagiannya adalah rumah lama.

"Kita faham dan simpati dengan mereka, kerana itu kerajaan negeri bersetuju untuk membiayai sepenuhnya kos pembaikan yang dianggarkan antara RM150,000 hingga RM200,000.

"Bantuan ini termasuklah rumah terjejas yang didiami secara menyewa," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja dan menyampaikan sumbangan Tabung Bantuan Bencana kepada mangsa terjejas di gelanggang futsal berbumbung Kampung Tasek di sini pada Ahad.

Kerja-kerja pembersihan pokok tumbang di Kampung Tasek, Ipoh masih dijalankan akibat kejadian ribut yang melanda kawasan itu, Rabu lalu.
Kerja-kerja pembersihan pokok tumbang di Kampung Tasek, Ipoh masih dijalankan akibat kejadian ribut yang melanda kawasan itu, Rabu lalu.

Beliau berkata, selepas kejadian ribut itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang dipengerusikan Pegawai Daerah telahpun mengambil tindakan awal dengan membuka pusat penempatan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Kampung Tasek bagi mengumpulkan semua mangsa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerja-kerja pembersihan turut digerakkan dengan bantuan jabatan dan agensi penyelamat untuk mengalihkan pokok tumbang dan membersihkan kayu serta zink yang berselerakan.

"Saya dimaklumkan ada keluarga yang ditempatkan di PPS, ada yang menumpang rumah rakan, jiran dan saudara mara.

"Atas sebab itu kita mahu kerja baik pulih ini dapat disegerakan, bila rumah dah pasang kembali bumbung, dapatlah mereka ini menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.

Saarani menyampaikan bantuan kotak makanan kepada seorang mangsa yang terjejas dalam kejadian ribut di Kampung Tasek, Ipoh.
Saarani menyampaikan bantuan kotak makanan kepada seorang mangsa yang terjejas dalam kejadian ribut di Kampung Tasek, Ipoh.

Kejadian sekitar jam 3 petang itu berlaku disebabkan hujan lebat berterusan selama hampir dua jam yang turut disusuli angin kencang.

Keadaan itu telah mengakibatkan 127 rumah terjejas dengan kerosakan di bahagian bumbung dan kerangka bumbung diterbangkan ribut selain lebih 20 pokok besar tumbang menghalangi lalu lintas serta menimpa struktur rumah.

Pada majlis itu, turut disampaikan kepada mangsa kotak makanan berupa barangan keperluan harian dan sumbangan wang tunai daripada Yayasan Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya peluk anak, azan sekuat hati'