X

Kindly register in order to view this article
!

Penyokong kumpulan pengganas tidak hanya jalani hukuman penjara

Kebanyakan penyokong kumpulan pengganas yang didapati bersalah tidak hanya dijatuhi hukuman penjara sebaliknya turut menjalani proses pemulihan. - Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Kebanyakan penyokong kumpulan pengganas yang didapati bersalah tidak hanya dijatuhi hukuman penjara sebaliknya turut menjalani proses pemulihan, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Deputi Komisioner Normah Ishak.

Beliau berkata proses itu antaranya menerusi pengaplikasian modul khusus memperbetulkan fahaman dan pandangan penyokong kumpulan berkenaan, berhubung isu yang menjadi pegangan serta pertikaian mereka.

"Modul khusus itu antara yang diaturkan pihak Jabatan Penjara dan Cawangan Khas terhadap semua banduan terlibat dalam kumpulan pengganas yang didakwa di bawah Bab VI A Kanun Keseksaan iaitu melibatkan kesalahan-kesalahan jenayah keganasan.

"Menerusi itu (modul khusus), hukuman dikenakan secara amnya tidaklah tertumpu kepada penjara semata-mata bagi menjalani hukuman, bahkan kebajikan dan kemaslahatan mereka sebenarnya dijaga dan mereka dihukum untuk dipulihkan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata bagi tujuan itu, pakar-pakar dalam bidang agama disediakan bagi berinteraksi dengan banduan terbabit untuk bersoal jawab dan memberi kefahaman yang betul tentang Islam, jihad, akhir zaman, Imam Mahdi dan apa sahaja yang terbuku di minda mereka.

"Pendedahan seperti ini memberi ruang dan peluang untuk menyoroti apa sebenarnya yang mereka kelirukan. Selain bab Islam dan maqasid syariahnya, banduan juga dibentuk untuk cintakan negara, menghormati undang-undang, menghargai keselamatan dan keamanan, menyayangi ibu bapa serta keluarga,” katanya.

Normah berkata banduan-banduan terbabit juga diberikan pendedahan kepada kemahiran yang boleh menjana pendapatan.

"Di sini, mereka berpeluang mempelajari ilmu-ilmu perniagaan, tentang peluang-peluang yang disediakan agensi kerajaan seperti pembiayaan mikro dan perniagaan mikro.

"Pendek kata, proses pemulihan itu menyeluruh dengan harapan apabila dibebaskan kelak mereka menjadi warganegara yang taat kepada agama, raja dan negara,” katanya.

Normah dalam masa sama berkata terorisme atau keganasan merupakan isu global yang tidak boleh ditangani secara bersendirian sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak bagi membendungnya.

"Tambahan dalam dunia hari ini, mobiliti manusia begitu luas ekoran teknologi pengangkutan yang semakin baik. Cuma ketika era Covid-19 ini, pergerakan sedikit tersekat namun teknologi komunikasi yang canggih menjadikan perhubungan begitu mudah walaupun di antara jarak yang jauh.

"Sistem kewangan yang berangkai di seluruh dunia juga membolehkan dana bergerak secara berselerak dan merupakan satu kelebihan kepada para pengganas di luar sana,” katanya.

Beliau berkata di peringkat antarabangsa, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan semua pasukan bagi mencapai matlamat melawan terorisme.

"Begitu juga di peringkat serantau atau dalam kalangan negara ASEAN. Namun, di peringkat nasional kita memerlukan satu pendekatan terancang agar kes-kes awal yang condong kepada fahaman ekstrem ini dapat dikesan lebih awal untuk diambil tindakan mitigasi yang berkesan,” katanya.

Menurutnya, rakyat Malaysia boleh bergabung menjadi mata dan telinga polis dengan melaporkan tanda-tanda awal atau indikator terhadap aktiviti terorisme dalam negara.

"Di pihak PDRM kami tetap berikrar akan melaksanakan tugas sebaik mungkin agar Malaysia tidak menjadi sasaran ataupun mangsa tindakan keganasan,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!