Estetika dalam karya sastera

Pembaca akan terbuai dengan karya yang tinggi nilai estetikanya.
Pembaca akan terbuai dengan karya yang tinggi nilai estetikanya.
A
A
A

ESTETIKA ialah subjek paling dasar dalam penciptaan dunia sastera. Satu istilah terpokok dan teras utama dalam konteks penulisan karya, dan banyak dibincangkan zaman-berzaman. Ia menjadi kriteria terpenting bagi khalayak dalam menentukan penerimaan mereka.

Malah, perkataan sastera berasal daripada Sanskrit yang merujuk kepada karya yang indah. Dalam dunia kepengarangan, aspek estetika perlu dikuasai secara teoretis dan praktis supaya karya dicipta bermutu tinggi. Kelangkaannya mengakibatkan nilainya gugur dan tiada bertempat.

Menurut teori estetika, keindahan itu terbayang pada rasa keseronokan, kegembiraan dan kepuasan, merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempesona atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan hati dan terpahat dalam pemikiran. Letak estetika adalah pelbagai menurut teks, genre, aliran dan teori yang dianuti pengarang. Bagaimanapun, keseluruhannya bersetuju, tempat utamanya adalah pada pembinaan penstrukturan teksnya.

Setiap aspek karya seperti tema, plot dan perwatakan serta komponennya seperti unsur krisis, dilema, kejutan dan konflik, berpadu menjelmakan sebuah komposisi harmonis dengan teknik luar biasa dan aplikasi segala unsur dengan tepat serta bertenaga.

Para naratotologi mengusulkan bahawa naratif sebagai daya pencitraan perlu melahirkan aspek hubungan (relationship) keseluruhan (wholeness), peraturan (regulation) dan kesatuan (unity) untuk mewujudkan keserasian (syinchronic) dalam sebuah rumah karya supaya jalinannya kemas berpadu dan sempurna lalu menjelmakan estetika teks.

Pengarang memilih subjek dan persoalannya disusunnya dengan sistematis, hati-hati dan teliti. Fikirannya digema oleh pencarian aplikasi teknik yang menawan. Bersedia melakukan pembaharuan atau melanggar apa yang telah sedia ada.

Kemudian, pengarang itu akan beristiqamah dengan penciptaannya sehinggalah dia memiliki sifat individulisme sendiri. Dengan cara sedemikian, sesungguhnya dia dapat mencipta karya bermutu dan berestetika.

Filosuf Jerman, Alexander Baumgarten (1714-1716), pertama kali mewacanakan perkataan ‘aisthetike’ diikuti oleh Cottfried Leibniz (1646-1716), yang memberi penekanan kepada pengalaman seni sebagai suatu bentuk ilmu kemanusiaan.

Artikel Berkaitan:

Perdebatan

Beberapa dekad kemudian, timbul perdebatan ilmiah dalam menentukan definisi, konsep dan prinsip estetika sehingga terjelma sebagai sebuah cabang falsafah. Akhirnya, mereka bersepakat bagi menentukan klasikafikasi estetika, gayanya, aliran dan coraknya serta menemukan ciri khas estetika sastera.

Penganut fahaman stilistik mengunjurkan bahasa membayangkan keberhasilan seseorang pengarang itu. Sifat sastera yang imaginatif, figuratif, simbolik dan segala unsur pramasastera dapat membangunkan rasa estetika.

Aplikasi bahasa telah lama dijadikan ciri kriteria estetika dengan pemilihan perkataan, penyusunan ayat dan pemberian makna, memancarkan estetika karya. Unsur-unsur simile, metafora, personifikasi dan lain-lainnya turut menjiwai pembinaan sastera kreatif.

Sementara itu, karya sastera yang berhasil memancarkan idealisme, nilai, etos, pandangan hidup, adat, budi, moraliti dan visi bangsa, dapat memenuhi kriteria sebagai teks berestetika tinggi.

Sebagai contoh, semua nilai itu dimiliki oleh khazanah karya agung sastera Melayu seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa dan Hikayat Acheh. Bukannya sahaja terbina atas struktur tekstualisme yang tinggi, juga mempunyai kontekstualisme yang intelektual.

Sebuah dapatan Braginsky (1994), dalam kajiannya yang klasik, �estetika sastera Melayu, terletak pada teks yang berfaedah, yang baik-baik, yang bermoral dan beretika, dan berakar pada keindahan hakiki, yang terjelma menerusi nilai keagamaan yang diperikan dengan gaya bahasa, teknik dan deskripsi yang cantik dan memukau’.

Pandangan ini sejajar dengan estetika sastera Islam yang digantungkan kepada aspek pemartaban akhlak, membawa manusia mencapai kebaikan demi membesarkan ALLAH Azza Wajalla.

Ekspresi seni berdasarkan paradigma tauhid mengikat semua unsurnya menjadi suatu kesatuan yang integral dan organik, tidak terpisah-pisah juga tidak dikotomik sebagai seni pengabdian kepada ALLAH SWT (Syed Qutub, 1985). Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, mafhumnya: “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan”. Keindahan hadir melalui didaktik yang larut dalam ajaran agama.

Keajaiban

Telah dipersetujui secara konsensus, estetika perlu dinilai dari sudut penerimaan khalayak. Sejauh mana sesebuah karya itu dapat membangunkan kepuasan, kekaguman dan keajaiban dari segi perasaan dan mengangkatnya dengan gagasan, ideologi dan falsafah hidup, dijadikan batu ukuran. Sebuah karya yang baik ialah elok ciptaannya, tinggi seninya dan halus adunannya. Khalayak akan tergoncang dan tercabar oleh ketinggian nilai keindahahannya.

Sesungguhnya estetika bergantung kepada keunikan pengalaman pengarang, keistimewaan daya kepengarangannya dan kecerdikan dalam kreativitinya. Karya itu memiliki wawasan dan khalayak mendapatkan kesan atas wawasan yang dibinanya dalam teksnya itu.

Watak-wataknya pun berwawasan, mempunyai cita-cita dan keazaman serta bijaksana mengurus kehidupan dan zaman. Khalayak pun terasa akan zarah-zarah keindahan pengalaman yang dibawa watak-wataknya itu.

Seandainya dalam seni tari yang berdasarkan motivasi gerak, estetikanya terletak pada sifat harmoni, berirama dan berjiwa sebagai media komunikasi untuk menyampaikan hasrat koreografer kepada khalayaknya.

Begitu juga sastera, pengarangnya dengan bijaksananya, berketerampilan bermain imaginasinya bagi menghidupkan dunia realiti, fantasi, utopia, magis dan seumpamanya, untuk membangunkan perasaan dan pemikiran khalayak.

Wajib bagi setiap pengarang melekatkan dalam jiwa ciptaannya untuk cuba menghasilkan karya berestetika tinggi. Mengukir di benaknya struktur pilihan karyanya, supaya sesuai, kemas, mantap dan padat.

Bahasanya kukuh, tepat dan bernyawa. Pemikiran dan ideologinya bernas, fungsional dan relevans. Setiap juzuk ciptaannya dikemaskan, dimatang dan menjalani proses neurosis yang panjang.

Sebuah karya yang dicipta dengan segala persiapan, kesedaran, kesukaran dan kesabaran itu berjaya muncul sebagai teks berestetika tinggi. Tidak mustahil, akhirnya teks itu diterima, dan nobatkan sebagai sebuah karya kanon atau agung. Sesungguhnya, estetika itu adalah rukun seni sastera.

*Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia