TNB peruntuk RM50,000 sokong penanaman pokok di Perak

Kenyataan akhbar oleh TNB pada Sabtu.
Kenyataan akhbar oleh TNB pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan sebanyak RM50,000 bagi program penanaman 130 pokok hutan di Tasik Raban, Lenggong, Perak pada 10 April lalu.

TNB menerusi satu kenyataan berkata, inisiatif terbaharu itu merupakan sebahagian komitmen syarikat berkenaan menyokong Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilaksanakan kerajaan negeri Perak.

“Kerjasama bersama Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), kerajaan negeri Perak dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak ini adalah bagi menyokong inisiatif kerajaan dalam memulihara alam sekitar.

“Sebanyak 21 spesies pokok tempatan yang sinonim dengan nama tempat dalam negeri Perak telah ditanam pada majlis tersebut bagi menjayakan agenda nasional iaitu Penghijauan Malaysia dengan sasaran penanaman 100 juta pokok menjelang tahun 2025. TNB menyumbang sebanyak RM50,000 bagi inisiatif penanaman pokok-pokok tersebut.

“Keprihatinan TNB dalam menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar bagi memastikan kelestarian alam sekitar buat generasi masa hadapan selain bagi menjamin ekosistem demi manfaat kehidupan orang ramai,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Kenyataan turut menyebut, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang hadir pada program berkenaan menyifatkan penyertaan TNB dalam kempen itu sebagai manifestasi keprihatinan syarikat terbabit terhadap alam sekitar.

Shamsul Anuar berkata, ia juga sebagai menyambut seruan kerajaan untuk bersama menjayakan objektif kempen berkenaan.

“Penglibatan dan sumbangan TNB sebagai satu daripada tanggungjawab korporatnya harus dicontohi pelbagai syarikat korporat lain," katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Lenggong.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir pada program berkenaan ialah Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad; Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang; Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, TNB memaklumkan bahawa selain daerah Lenggong, syarikat berkenaan telah terlibat secara aktif dalam pemuliharaan alam sekitar menerusi penanaman 18,800 pokok bakau di daerah Manjung sejak tahun 2013.

“Jumlah ini sebahagian daripada 23,700 anak benih bakau yang ditanam TNB di negeri lain di Semenanjung Malaysia.

“Ini termasuk Perak, Perlis dan Pulau Pinang serta empat lokasi habitat kelip-kelip termasuk Kampung Kuantan (Kuala Selangor, Selangor), Kampung Dew di (Taiping, Perak), Kampung Sungai Timun (Rembau, Negeri Sembilan) dan Kampung Yak Yah (Kemaman, Terengganu).

“Kini, TNB sedang giat menjalankan inisiatif sama dengan tambahan sebanyak 7,000 anak benih di daerah Manjung dan 1,000 di Jimah Power Plant yang bakal siap ditanam menjelang tahun 2022,” jelasnya.