X

Kindly register in order to view this article
!

Bintang legenda Mat Sentol masih sihat

Mat Sentul masih sihat dan kini tinggal berdua dengan anak lelakinya.
A
A

JOHOR BAHRU - Pelawak dan pelakon veteran filem Melayu, Abdul Rashid Yahya atau lebih dikenali sebagai Mat Sentol menafikan dia kini uzur dan terlantar sakit di rumahnya di Jalan Rajawali, Larkin Jaya di sini.

Menurut seniman di bawah syarikat Cathay-Keris Film Productions yang popular pada era 50-an hingga 70-an itu, beliau juga boleh berjalan dan ingatannya masih kuat walaupun sudah berusia 88 tahun.

"Saya Alhamdulillah sihat. Sakit-sakit orang tua itu...biasalah. Semalam (Rabu) jalan-jalan ke bazar Ramadan tengok-tengok orang, tak beli apa pun. Sudah dua hari anak bawa saya ke bazar Ramadan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Khirul Nizam Mad Said yang menyampaikan bantuan khas RM300 kepada Mat Sentol di rumahnya pada Jumaat.

Anak kelahiran Muar itu pernah membintangi filem antaranya Mat Tiga Suku, Mat Bond, Mat Raja Kapor, Mat Toyol, Mat Karong Guni dan Mat Magic termasuk berlakon dalam filem arahannya sendiri.

Beliau bukan sahaja pelakon komedi dan pengarah filem yang disegani semasa aktif dalam bidang perfileman malah perintis atau bapa teknik kesan khas filem Melayu dan pernah menerima anugerah berkaitan.

Mat Sentol menunjukkan isyarat bagus selepas dikunjungi Khirul Nizam semasa menyampaikan bantuan khas di rumahnya di Jalan Rajawali, Larkin Jaya, Johor Bahru pada Khamis.
Mat Sentol menunjukkan isyarat bagus selepas dikunjungi Khirul Nizam semasa menyampaikan bantuan khas di rumahnya di Jalan Rajawali, Larkin Jaya, Johor Bahru pada Khamis.

Mat Sentol kini tinggal berdua dengan anak lelakinya, Rosli Rashid, 59, di kediaman tersebut sejak kematian isteri, Jamilah Kasri, 71, pada Disember lalu.

Menurut beliau yang juga popular dan pernah aktif menghasilkan iklan televisyen dan radio antaranya Jojo, Tora, Ding Dang dan Apollo kini banyak menghabiskan masa dengan menulis skrip mengenai kisah hidupnya.

"Adalah sikit-sikit, kalau saya Mat Sentol, tajuk tu Mat Sentalla," ujarnya berseloroh.

Sementara itu, Rosli berkata, walaupun bapanya berada dalam keadaan sihat namun Mat Sentol tidak pernah sakit terlantar seperti yang pernah dilaporkan.

Dia memberitahu kecewa dengan perkongsian kurang tepat di media sosial selain mengakui pemikiran, ingatan dan pendengaran ayahnya masih baik.

"Ramai yang tanya betul ke abah sakit kuat, saya sebagai anak sedih dan marah. Sebenarnya dia masih boleh bangun dan berjalan, terlantar tu tiada tetapi biasalah sakit orang tua, pergerakan tidak seperti dahulu," katanya.

Dalam pada itu, Khirul Nizam berkata, selain bantuan khas MAINJ bercadang memberikan bantuan bulanan untuk menampung perbelanjaan bulanan perubatan beliau.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!