Agihan kerusi: Pas minta UMNO selesai dahulu masalah dalaman

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

MARANG - Pas meminta UMNO menyelesaikan masalah dalaman dan menetapkan hala tuju jelas bagi membolehkan perbincangan agihan kerusi yang tertangguh dapat diteruskan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas tidak menghentikan rundingan bersama UMNO namun parti itu mengambil pendirian berbincang dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selagi kemelut UMNO tidak menemui penamat.

“Ia (agihan kerusi) baru di peringkat awal, dengan UMNO kita masih ada hubungan.

“Kita tidak henti cuma tangguh kerana masalah UMNO tidak selesai. Orang-orang pun dia tukar menukar, lepas orang ini tukar orang ini pula, ia tidak tetap jadi kita tunggu (selesai) dan bincang dengan Bersatu dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita mengulas perkembangan terkini perbincangan agihan kerusi antara Pas, UMNO dan Bersatu selepas menyampaikan kuliah dhuha secara dalam talian di Masjid Rusila, di sini pada Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan Pas menghentikan sementara rundingan pembahagian kerusi bagi PRU15 dengan UMNO dan ketika ini rundingan yang ada hanyalah dengan Bersatu.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, rundingan dengan UMNO akan diteruskan setelah parti itu mempunyai keputusan atau hala tuju yang jelas tentang kerjasama bersama Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15 akan datang.

Sementara itu, Abdul Hadi memaklumkan Pas sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik di negara ini khususnya parti Melayu Islam dan ia diputuskan oleh Majlis Syura Ulama Pas.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, selain parti Melayu Islam, Pas juga bersedia menjalinkan hubungan sama dengan parti bukan Islam dengan syarat ia bukan bersifat ekstrem.

“Namun parti politik Melayu yang liberal kita tolak. Ini dalam kedua-dua Muafakat Nasional dan PN,” katanya.