EU rancang tidak lanjut kontrak vaksin AstraZeneca dan J&J pada 2022

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

ROM - Suruhanjaya Eropah (EU) memutuskan untuk tidak melanjutkan kontrak bekalan vaksin Covid-19 AstraZeneca dan Johnson & Johnson (J&J) berikutan laporan kesan sampingan masalah darah beku, lapor Sputnik.

Sebaliknya, blok itu akan menggunakan vaksin berasaskan RNA, seperti yang dibangunkan Pfizer dan Moderna, menurut akhbar Itali La Stampa pada Rabu memetik sumber kementerian kesihatan.

Pada Selasa, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (AS) mengesyorkan penggunaan vaksin J&J dihentikan susulan enam kes darah beku.

Berikutan itu, syarikat AS berkenaan mengumumkan untuk menangguhkan pelancaran vaksin yang dirancang di Eropah.

Bulan lalu, vaksin AstraZeneca mencetuskan kebimbangan selepas dilaporkan menyebabkan darah beku.

Meskipun laporan pengawal selia EU mengesahkan trombosis pasca-suntikan adalah kesan sampingan yang 'sangat jarang', sebilangan negara melarang penggunaannya. - Bernama

Artikel Berkaitan: