Polis Kota Kinabalu tahan 58 individu bersabit dadah

A
A

KOTA KINABALU – Polis Kota Kinabalu menahan 58 individu atas pelbagai kesalahan bersabit dadah dalam operasi di sekitar Likas dan Menggatal dalam tempoh seminggu bermula 9 Februari lalu.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata suspek berusia 14 hingga 49 tahun terbabit turut merangkumi 13 warga asing.

"Hasil pemeriksaan mendapati seramai 20 individu memiliki dadah dan 38 lagi didapati positif dadah selepas ujian urin dijalankan," katanya.

Menurutnya polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM4,400.

Beliau berkata pihaknya akan terus menjalankan operasi bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di bandar raya ini. - Bernama