X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih RM18 juta untuk bantu wanita, OKU kendali perniagaan

Wan Junaidi melihat kain di salah sebuah kedai kain pada majlis penyerahan bantuan hampir RM9 Juta kepada usahawan di Johor pada Selasa.
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) berserta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), telah memperuntukkan lebih RM18 juta bagi pelbagai program dan bantuan untuk pengendali perniagaan terdiri daripada wanita dan orang kurang upaya (OKU).

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini sejajar dengan persetujuan kerjasama antara kementerian itu menerusi agensinya seperti Institut Keusahawanan Nasional (INSKEN), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), SME Corp dan Perbadanan Nasional Bhd (PNS) dengan KPWKM bagi membantu kumpulan sasar, terutama pada tempoh pemulihan pasca-Covid-19 selain mengembangkan operasi mereka terbabit.

Beliau berkata, pemilik perniagaan wanita juga merupakan antara kelompok yang terjejas teruk akibat pandemik berikutan sebahagian besarnya dalam kategori mikro dan tidak rasmi (tidak berdaftar).

Malah, katanya, mereka juga menjalankan perniagaan dalam sektor bukan utama seperti kecantikan, fesyen, pengurusan acara dan perancang perkahwinan.

“Sehubungan itu, MEDAC dan agensinya sedang gigih untuk memberi bantuan menyeluruh yang dapat menyumbang secara berkesan, bukan hanya bagi pemulihan pasca-Covid-19 tetapi juga membantu kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Ini termasuk menawarkan perkhidmatan menyeluruh merangkumi bantuan pembiayaan, pembiayaan mikro, kejurulatihan, latihan dan program kemahiran bagi melahirkan usahawan yang lebih berdaya saing, dinamik serta berdaya tahan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Wan Junaidi, MEDAC juga sedang menumpukan usaha membantu perniagaan menjadi lebih digital.

“Covid-19 telah meningkatkan keperluan perniagaan untuk menerima guna dan melaksanakan teknologi. Hasil kaji selidik kami mendapati perniagaan yang melaksanakan pendigitalan terbukti lebih maju berbanding mereka yang menolak keperluan digital itu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, MEDAC menerusi PNS juga berminat untuk menjalin kerjasama dengan KPWKM bagi mengenal pasti perniagaan milik wanita yang berpotensi dimajukan sebagai jenama francais tempatan.

“Banyak PKS yang takut untuk menceburi bidang francais ini berikutan persepsi bahawa ia memerlukan modal permulaan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, PNS akan membantu dari segi penilaian perniagaan dan memberi nasihat bagaimana untuk meningkatkan lagi perniagaan tersebut.

PNS menerusi pelan lima tahunnya, menyasarkan untuk mencapai minimum 5,000 kelulusan pembiayaan bagi usahawan yang dijangka dapat memperluas portfolio francais kepada RM700 juta selain mewujudkan 18,000 pekerjaan serta menyumbang sejumlah RM4.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!