Pekerja am penerima APC KESEDAR

Sebahagian daripada penerima APC KESEDAR.
Sebahagian daripada penerima APC KESEDAR.
A
A
A

GUA MUSANG - Kerja dengan ikhlas menjadi ‘azimat’ kepada pekerja am, Rosnani Abdullah, 45, apabila dipilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

Lebih menggembirakan, anugerah pertama kali itu diterima Rosnani selepas tiga dekad menabur bakti bersama KESEDAR.

Rosnani berkata, sejujurnya dia tidak pernah bermimpi untuk menerima APC kerana ia salah satu anugerah tertinggi yang memerlukan pengorbanan dan komitmen sepanjang menjalankan tugas.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan sebagai salah seorang penerima APC kerana sebenarnya saya lebih selesa bekerja dengan penuh ikhlas. Kerja ini sumber utama rezeki untuk menyara keluarga,” katanya yang berterima kasih kepada pihak pengurusan.

Menurutnya, anugerah itu menjadi motivasi untuknya terus memberikan khidmat terbaik kepada KESEDAR pada masa akan datang.

Terdahulu, Rosnani menerima APC yang disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah KESEDAR, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah KESEDAR, Bahari Mohamad Nor; Ahli Lembaga Pengarah, Ab Aziz Yusoff dan Azman Ahmad serta Pengurus Besar KESEDAR, Iskandar Zurkarnain Ibrahim.

Seramai 40 kakitangan KESEDAR menerima APC dalam satu majlis ringkas yang berlangsung dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat sebagaimana ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel Berkaitan:

APC merupakan penghargaan kerajaan kepada pegawai perkhidmatan awam yang memberikan perkhidmatan cemerlang di samping pengiktirafan terhadap perkhidmatan yang bermutu tinggi berdasarkan prestasi tahunan pegawai.

Sementara itu, Mohd Suhamdan Mohamad, 39, yang berkhidmat sebagai pembantu operasi menjadikan APC itu sebagai pemangkin untuk terus menabur bakti lebih baik kepada KESEDAR.

“Selain tugas hakiki sebagai pembantu operasi, saya juga terlibat dalam sukan bola sepak mewakili KESEDAR.

“Alhamdulillah, saya mampu bahagikan masa antara tugas dan tanggungjawab dalam kerja hakiki dan penglibatan pasukan bola sepak mewakili jabatan,” katanya yang sudah lapan tahun berkhidmat dengan agensi berkenaan.

Bagi Aminudin Abdul Rahman, 59, yang bersara wajib pada Februari lalu sebagai Penolong Jurutera Awam, beliau menzahirkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan kerana memilihnya buat kali ketiga sebagai penerima APC. Katanya, sepanjang berkhidmat dengan KESEDAR, banyak kenangan manis dirakam bersama agensi berkenaan.

“Kalau ikutkan hati, saya masih mahu berkhidmat namun apakan daya sudah tiba masa untuk bersara wajib. Tapi, rasa sayang kepada KESEDAR akan terpahat di hati,” katanya.