X

Kindly register in order to view this article
!

Ramadan: Suntikan vaksin tidak dilakukan waktu malam

Noor Azmi
A
A

BAGAN SERAI - Kementerian Kesihatan tidak akan melakukan suntikan vaksin pada waktu malam sepanjang Ramadan.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, suntikan akan dibuat seperti biasa sehingga petang sahaja kepada mereka yang sudah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk menerima suntikan bagi mengelak ibadah di bulan suci itu terganggu.

“Saya berpendapat jika suntikan dibuat pada waktu malam mereka tidak akan datang, kerana mereka mahu melakukan ibadat tarawih yang hanya setahun sekali sahaja.

“Suntikan vaksin bagi fasa kedua pula akan dilaksanakan pada 19 April ini. Bagi mereka yang tinggal di pedalaman seperti orang asli, kita akan hantar pegawai perubatan melalui program ‘Out Reach’ untuk memberikan suntikan vaksin CanSino bagi sekali suntikan sahaja,” katanya dalam sidang media selepas Program Malaysia Prihatin dan Sumbangan Ihya Ramadan, di Dewan Komuniti Bagan Serai di sini pada Isnin.

Noor Azmi yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, jika ramai yang datang pada masa yang ditetapkan, pihaknya boleh menyelesaikan suntikan vaksin sehingga 70 hingga 80 peratus kepada penerima sehingga akhir tahun ini.

Ditanya mengenai kebimbangan orang ramai di bazar Ramadan jika Covid-19 merebak, beliau berkata, apa yang penting ialah masyarakat mengamalkan penjarakan fizikal, cuci tangan selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan serta tidak berhimpun beramai-ramai.

Pada program ini, Noor Azmi menyampaikan replika cek bernilai RM38,000 untuk diagihkan kepada 38 buah masjid di Parlimen Bagan Serai bagi tujuan mengimarahkan masjid sepanjang bulan Ramadan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!