Ibu tunggal perlu RM18,000 rawat anak sakit kudis api

Mia Nurhamizah (kanan) semasa menziarah Norjannah di rumahnya dekat Kampung Paya, Port Dickson pada Sabtu.
Mia Nurhamizah (kanan) semasa menziarah Norjannah di rumahnya dekat Kampung Paya, Port Dickson pada Sabtu.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang ibu tunggal merayu bantuan perubatan untuk seorang anaknya yang menghidap penyakit kudis api sejak tiga tahun lalu.

Julimiyana Abd Jalil,43, berkata, penyakit anaknya, Norjannah Shaiful,18, semakin teruk yang kini menyebabkan kulit tangan dan kakinya mengelupas.

Katanya, Norjannah yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) Syndrome Down kini mengalami kegatalan yang melampau sehingga menyebabkan luka di bahagian badan, tapak tangan dan kaki.

"Hampir tiga tahun saya membawa Jannah turun naik hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk mendapatkan pemeriksaan doktor pakar kulit dan sudah mencuba pelbagai rawatan di klinik, namun sehingga kini masih tiada perubahan.

"Doktor beritahu rawatan memerlukan kos yang tinggi dengan anggaran RM18,000 untuk memulihkan semula kulitnya," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Julimiyana, dia yang tidak bekerja dan hanya mengharapkan pencen Perkeso arwah suaminya sebanyak RM600 sebulan tidak mampu untuk menanggung kos rawatan anak kedua daripada lima beradik itu.

Katanya, sebelum ini dia tidak pernah meminta bantuan kerana tidak tahu untuk berbuat demikian selain perlu menguruskan empat orang anaknya yang lain.

Sementara itu, Pertubuhan Ikon Malaysia akan menganjurkan Karnival Amal Ikon Malaysia pada 25 hingga 27 Jun depan bagi membantu mengumpulkan dana untuk Norjannah.

Artikel Berkaitan:

Presidennya, Mia Nurhamizah Abdul Ghapar berkata, dia telah berjumpa dengan doktor pakar kulit dan mereka menjangkakan kos rawatan untuk penyakit Norwegian Scabies ini sebanyak RM18,000.

"Jadi kita bercadang menganjurkan karnival amal dengan kerjasama Fama Negeri Sembilan dan Jabatan Penerangan Negeri bagi mengumpulkan jumlah yang diperlukan oleh keluarga ini untuk merawat anak istimewa mereka.

"Dalam karnival amal ini, kita juga menyediakan 10 tapak khas secara percuma untuk usahawan asnaf dan miskin bagi membantu mereka berniaga," katanya.

Tambahnya, setiap pembelian dan hasil jualan daripada Karnival Amal Ikon Malaysia ini akan disalurkan kepada Norjannah untuk membolehkan dia mendapatkan rawatan dengan lebih sempurna.

"Selepas Negeri Sembilan kita akan jelajah ke negeri lain, matlamat kita satu negeri, satu anak asnaf miskin akan dibantu sama ada untuk mendapatkan perubatan atau pembedahan," katanya.