Maybank luluskan pembiayaan digital PKS RM1bilion

Maybank luluskan pembiayaan digital PKS sebanyak RM1bilion selepas ia dilancarkan enam bulan lalu,.
Maybank luluskan pembiayaan digital PKS sebanyak RM1bilion selepas ia dilancarkan enam bulan lalu,.
A
A
A

KUALA LUMPUR -Pembiayaan Digital PKS Maybank yang dilancar enam bulan lalu telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM1 bilion.

Maybank dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, skim pembiayaan itu telah memberi manfaat kepada 8,200 perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan 85 peratus atau 6,950 penerima adalah terdiri daripada syarikat pemula niaga dan perusahaan mikro.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komunitinya, Datuk John Chong berkata, bahawa penyelesaian digital tersebut mendapat sambutan yang memberangsangkan sejak pelancarannya, dan secara purata ia menerima ratusan permohonan setiap hari.

Menurutnya, pembiayaan tersebut yang dilancarkan pada September tahun lepas semasa situasi pandemik masih berleluasa adalah bagi mencapai dua objektif.

“Pertama, untuk memberikan pembiayaan yang cepat dan bebas gangguan kepada PKS ketika keperluan pengaliran tunai penting dalam tempoh kritikal ini.

“Kedua, kami ingin memastikan supaya perniagaan kecil seperti syarikat pemula niaga dan perusahaan mikro, yang sering menghadapi cabaran untuk mendapatkan dana kerana kekurangan maklumat kredit atau jaminan, mempunyai akses kepada pembiayaan.

“Kami berharap pembiayaan yang diberikan dapat membolehkan perniagaan mereka terus beroperasi dan pulih supaya dapat mengekalkan penggajian bagi lebih ramai pekerja, seterusnya, membantu rakyat Malaysia mengatasi tempoh mencabar ini,” katanya.

Chong berkata, daripada 6,950 syarikat pemula niaga dan perusahaan mikro yang mendapat kelulusan pembiayaan daripada Pembiayaan Digital PKS, kira-kira 2,000 syarikat ini hanya beroperasi selama atau kurang daripada dua tahun.

Artikel Berkaitan:

Menerusi pembiayaan ini, PKS boleh memohon pembiayaan secara dalam talian melalui Maybank2u atau Maybank2uBiz pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja, tanpa perlu mengunjungi cawangan.

Perniagaan PKS yang berdaftar dengan perolehan di bawah RM25 juta, termasuk pelanggan bukan Maybank, layak untuk memohon pembiayaan melalui Pembiayaan Digital PKS. - Bernama