Kemasukan 7,219 ahli baharu pelengkap UPKO

Madius menerima borang keahlian ahli baharu yang menyertai UPKO daripada Marajoh dalam Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Borang Keahlian Ketua Cawangan UPKO Bahagian Sepanggar di Kota Kinabalu.
Madius menerima borang keahlian ahli baharu yang menyertai UPKO daripada Marajoh dalam Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Borang Keahlian Ketua Cawangan UPKO Bahagian Sepanggar di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kemasukan seramai 7,219 ahli baharu dalam Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Sepanggar termasuk seorang bekas calon Parti Liberal Demokratik (LDP) Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu disifatkan sebagai pelengkap bagi penjenamaan semula UPKO.

Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, ia adalah permulaan yang baik untuk UPKO dan membuktikan bahawa parti itu kini sebagai sebuah parti multinasional.

"Keahlian ini (kemasukan ahli) betul-betul multinasional, walaupun kita ada ahli dari kalangan mereka yang beragama Islam tetapi bilangannya tidak ramai dan dengan kemasukan Datuk Seri Marajoh Unding sendiri, maka dengan ini penjenamaan semula UPKO lengkap dari segi barisan kepimpinan serta keahliannya.

"Secara keseluruhannya, kita ada seramai 150,000 ahli di seluruh Malaysia dan dengan keahlian ini akan melonjak kepada 180,000 ahli," katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Borang Keahlian Ketua Cawangan UPKO Bahagian Sepanggar pada malam Ahad.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas diminta mengulas berhubung kemasukan ahli baharu dalam UPKO membabitkan 114 cawangan di Bahagian Sepanggar.

Dalam pada itu, Madius menyifatkan kemasukan ahli yang ramai itu sebagai satu sejarah bagi parti khususnya UPKO Bahagian Sepanggar.

"Ini merupakan sejarah, kita tercari-cari pemimpin khususnya yang mewakili ahli beragama Islam seperti Datuk Seri Marajoh dan dengan ini ia sebagai permulaan yang baik dengan lebih 7,000 ahli baharu sekali gus melonjakkan keahlian UPKO sehingga 15,000 ahli di kawasan Sepanggar," katanya.

Sementara itu, Marajoh berkata, keputusannya untuk menyertai UPKO adalah selepas hasil penelitian secara menyeluruh terhadap parti itu.

Artikel Berkaitan:

"Kepimpinan parti ini tidak sama seperti lain kerana mereka mempunyai kesamarataan dan ada kekuatan bersama menyebabkan saya tertarik.

"Bagi saya untuk memperjuangkan Sabah melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atau memperjuangkan agama, bangsa dan rakyat Sabah keluar dari belenggu kemiskinan dan belenggu ekonomi memerlukan kepimpinan dan kesamarataan serta kesepakatan yang kuat.

"Jadi perkara ini ada pada kepimpinan UPKO dan bukan mudah untuk saya membuat keputusan serta memberi penerangan kepada pengikut saya sedangkan mereka juga mendapat tawaran dari parti lain," katanya.

Beliau turut berkata, jangan lihat apa yang berlaku dalam UPKO sebelum ini dan kini tetapi lihat pada kesannya kepada generasi di masa akan datang.

"Sebab itu dengan penjenamaan UPKO daripada nama lama yang lebih kepada bangsa, tetapi sekarang lebih secara menyeluruh tanpa mengira agama, suku kaum dan lebih progresif, saya yakin parti ini boleh melonjak lebih baik.

"Keputusan Ahli Majlis Tertinggi Presiden dan lain dalam penjenamaan UPKO, adalah keputusan yang bijak bagi saya, ini merupakan daya tarikan.

"Kalau UPKO masih menggunakan nama lama, mungkin saya tidak dapat membawa semua ahli ini tetapi dengan nama baharu, mereka nampak perubahan yang besar dilakukan UPKO," katanya.